X

Kindly register in order to view this article
!

Kontrak dan Covid-19

A
A

DI saat getir ini, banyak negara sedang diselubungi dengan masalah Covid-19. Malaysia sendiri tidak terlepas, malah kini menjadi negara yang mencatatkan kes tertinggi jangkitan Covid-19 di Asia Tenggara.

Selain daripada implikasi kesihatan dan ekonomi, Covid-19 juga mempengaruhi atau memberikan implikasi kepada pelaksanaan sesebuah kontrak, terutamanya kontrak komersial seperti transaksi perdagangan, penganjuran program, pembekalan barangan, pembinaan dan sebagainya.

Banyak aktiviti perniagaan seperti eksport dan import turut terkesan akibat Covid-19 lantas memberikan pelbagai masalah kepada peniaga. Implikasi Covid-19 ini begitu teruk sehingga menyebabkan banyak pihak gagal untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing seperti yang dituntut dalam kontrak yang telah ditandatangani mereka sebelum ini.

Dalam banyak kontrak, terutamanya kontrak komersial, kebiasaannya akan mengandungi satu klausa atau perenggan yang menyentuh mengenai penamatan kontrak dan juga force majeure. Secara kasarnya, force majeure bermaksud situasi yang tidak dijangka akan berlaku yang akan menyebabkan atau menghalang seseorang daripada melaksanakan tanggungjawabnya seperti yang termaktub dalam kontrak.

Jika kontrak anda ada menggariskan elemen berkenaan force majeure dan bagaimana anda mempunyai hak untuk tidak melaksanakan tanggungjawab anda dalam kontrak, anda berkemungkinan akan terselamat daripada diambil tindakan undang-undang.

Namun, dalam senario di mana kontrak anda tidak mempunyai klausa berkenaan force majeure ataupun klausa force majeure dalam kontrak tidak langsung menyebut mengenai hak anda untuk tidak melaksanakan tanggungjawab ketika berlaku pandemik, maka agak sukar untuk anda mengecualikan dan mempertahankan diri anda.

Bagaimanapun, ini bukan bermaksud anda hilang harapan untuk melindungi diri anda daripada diambil tindakan undang-undang kelak jika anda gagal melaksanakan tanggungjawab anda. Ada satu lagi prinsip perundangan yang boleh digunakan dalam mengecualikan anda daripada melaksanakan tanggungjawab anda disebabkan oleh Covid-19 ini, iaitu kekecewaan kontrak (frustration of contract).

Kekecewaan kontrak adalah satu prinsip yang terdapat dalam Common Law yang memberikan hak kepada mana-mana pihak kepada sesebuah kontrak untuk tidak melaksanakan tanggungjawabnya. Di bawah prinsip kekecewaan kontrak ini, terdapat tiga elemen utama untuk membolehkan mana-mana pihak membatalkan sebarang kontrak atau berhak untuk tidak melaksanakan tanggungjawabnya seperti yang dituntut, iaitu: (i) Situasi yang tidak dijangka, (ii) Di luar kawalan mana-mana pihak, dan (iii) Pelaksanaan kontrak adalah mustahil disebabkan oleh Covid-19 tersebut.

Namun, untuk menggunakan prinsip kekecewaan kontrak ini bukannya mudah dan tidak sentiasa dibenarkan oleh mahkamah. Banyak perkara yang akan dinilai oleh mahkamah dalam menentukan sama ada mana-mana pihak boleh menggunakan prinsip kekecewaan kontrak. Sebagai contoh, mahkamah akan melihat sama ada produk atau servis utama kepada kontrak itu tidak boleh didapati kerana mungkin atas sebab sekatan perdagangan atau perintah berkurung. Jika produk atau servis tersebut masih boleh didapati atau ditawarkan, maka amat sukar untuk anda membatalkan kontrak tersebut atau dikecualikan daripada melaksanakan tanggungjawab anda.

Pada tahun 2003 juga kita pernah alami masalah wabak SARS dan ketika itu, ada juga yang cuba mengambil kesempatan untuk membatalkan kontrak dengan menggunakan alasan SARS, dan telah ditolak mahkamah.

Jadi, jika anda atau perniagaan anda ada mengalami masalah ini, pastikan anda mendapatkan khidmat nasihat guaman yang sewajarnya agar anda tidak terjerumus dalam ambil tindakan yang akhirnya akan memakan diri anda sendiri.

* Haeme Hashim ialah peguam di Tetuan Haeme Lew, Kuala Lumpur.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus