MOSTI, PETRA teroka tenaga nuklear sebagai pilihan utama negara

KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang meneroka tenaga nuklear sebagai antara pilihan utama dalam memastikan bekalan tenaga negara kekal stabil, bersih dan boleh dipercayai.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, kajian pra-kebolehlaksanaan berkaitan tenaga nuklear sebagai sumber penjanaan elektrik telah disiapkan dan dapatan awal menunjukkan potensi besar tenaga nuklear untuk negara.
“Hasil kajian tersebut mencadangkan penubuhan enam Pasukan Petugas Teknikal atau Technical Task Force. Sebanyak tiga pasukan telah dipertanggungjawabkan kepada MOSTI, iaitu melibatkan bidang Teknologi dan Pembangunan Industri; Pembangunan Kompetensi dan Kepakaran Nuklear serta Rangka Kerja Perundangan dan Kawal Selia,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.
Menurut beliau, Malaysia kini mempunyai 323 pegawai penyelidik di Agensi Nuklear Malaysia dan 36 pegawai sains di Jabatan Tenaga Atom, yang berkhidmat dalam pelbagai bidang teknologi nuklear. Daripada jumlah itu, seramai 61 pegawai penyelidik memiliki kelulusan dalam bidang Sains dan Kejuruteraan Nuklear.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) yang bertanyakan sama ada Malaysia sudah bersedia menerokai penjanaan tenaga nuklear serta bentuk kerjasama yang dijalinkan dengan agensi antarabangsa berkaitan sains dan teknologi nuklear.
Tambah Lih Kang, situasi ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam membangunkan kapasiti kepakaran tempatan bagi menyokong kemajuan teknologi nuklear secara selamat dan bertanggungjawab.
“Berkenaan dengan kerjasama antarabangsa, Malaysia melalui MOSTI terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuh jaringan strategik dengan pelbagai agensi global.
“Ia merangkumi program latihan teknikal, penyelidikan bersama, pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti dalam bidang sains dan teknologi nuklear bagi menyokong agenda pembangunan negara,” jelasnya.
Ujar beliau, pada 10 Julai 2025, kerajaan Malaysia telah memeterai Perjanjian Kerjasama Strategik Nuklear Awam dengan kerajaan Amerika Syarikat.
“Kerjasama ini bertindak sebagai pemangkin kepada kerjasama jangka panjang dalam membangunkan keupayaan tenaga nuklear awam Malaysia secara selamat dan bertanggungjawab.
“Selain itu, Malaysia juga menjalinkan rangkaian kerjasama dengan China dan Rusia dalam memperkukuh pembangunan program tenaga nuklear bagi penjanaan elektrik secara terancang,” katanya.
Melalui kerjasama itu, Malaysia berpeluang mengakses kepakaran teknikal, teknologi semasa dan amalan terbaik antarabangsa yang dapat menyokong pembangunan infrastruktur, pelaksanaan penyelidikan bersama dan pengukuhan industri tempatan.
Dalam pada itu, Lih Kang turut memaklumkan bahawa Malaysia bekerjasama dengan Suruhanjaya Persediaan bagi Triti Pengharaman Menyeluruh Ujian Letupan Nuklear (CTBTO) bagi mengesan sebarang bentuk ujian letupan senjata nuklear serta menjalankan penyelidikan menggunakan data saintifik untuk pemantauan bencana alam seperti gempa bumi dan tsunami.
Selain itu, kerjasama strategik bersama Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) terus diperkukuh menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah Program Kerjasama Teknikal, Perjanjian Kerjasama Serantau (RCA), Forum Kerjasama Nuklear Asia (FNCA) dan Projek Penyelidikan Berkoordinasi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

