Britain bakal iktiraf negara Palestin: Apa maknanya?

LONDON – Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, bakal mengiktiraf negara Palestin seawal September ini sekiranya Israel gagal memenuhi beberapa syarat utama, termasuk melaksanakan gencatan senjata dan menunjukkan komitmen terhadap proses perdamaian jangka panjang.
Pengumuman tersebut yang dibuat pada Selasa mencerminkan perubahan besar dalam dasar luar Britain, yang sebelum ini menegaskan bahawa pengiktirafan Palestin hanya akan dilakukan 'pada waktu yang paling memberi kesan', selari dengan rundingan damai.
Menurut kenyataan rasmi Pejabat Perdana Menteri, keputusan muktamad akan dibuat sebelum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September, bergantung kepada sejauh mana Israel dan Hamas memenuhi syarat yang ditetapkan.
Tindakan itu bersifat simbolik tetapi signifikan kerana ia merupakan pengiktirafan rasmi terhadap hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri.
Walau bagaimanapun, ia tidak melibatkan penetapan sempadan atau ibu negara secara khusus.
Pengiktirafan itu juga membolehkan hubungan diplomatik penuh diwujudkan, termasuk pelantikan duta Palestin ke United Kingdom (UK) dan sebaliknya. Ia turut dilihat sebagai langkah awal ke arah penyelesaian dua negara yang semakin lama terhenti.
Setakat ini, lebih 140 daripada 193 negara anggota PBB termasuk China, India, Rusia, Ireland, Norway, Sepanyol dan Sweden telah mengiktiraf Palestin.
Namun tiada negara G7 berbuat demikian sehinggalah Presiden Perancis, Emmanuel Macron, mengumumkan niat Perancis untuk mengiktiraf Palestin dalam sidang PBB nanti.
Beberapa faktor antarabangsa dan tekanan dalaman memberi dorongan kepada pengumuman Starmer. Presiden Macron telah membuka langkah minggu lalu apabila menyatakan hasrat Perancis untuk memberikan pengiktirafan kepada Palestin.
Di samping itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, secara tidak langsung memberi lampu hijau apabila menyatakan beliau tidak menghalang tindakan Starmer dan enggan memberikan pendirian rasmi berhubung isu tersebut.
Tekanan dalam negara juga semakin meningkat. Beberapa menteri kanan dalam Kabinet, termasuk Angela Rayner dan Yvette Cooper, menyokong pengiktirafan segera.
Lebih 250 ahli parlimen pelbagai parti turut menandatangani surat sokongan. Tinjauan juga menunjukkan hampir separuh rakyat Britain menyokong pengiktirafan Palestin.
Tindakan UK ini membuka ruang kepada kerjasama bersama Perancis untuk mengiktiraf Palestin secara serentak pada September.
Negara-negara lain, termasuk beberapa di Eropah dan dunia Arab, sedang menyertai rundingan yang dikendalikan oleh Perancis dan Arab Saudi di New York.
Namun, sesetengah negara seperti Jerman dan Amerika Syarikat masih berpegang kepada pendirian bahawa pengiktirafan hanya akan diberikan sebagai sebahagian daripada penyelesaian politik jangka panjang terhadap konflik di Asia Barat. -Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

