Luahan hati golongan M40

SETIAP hujung bulan, tarikh masuk gaji amat dinanti-nantikan, namun apabila gaji masuk, ia hanyalah satu persinggahan.
Paling sedih tak sampai sehari duit gaji singgah. Apabila tengok baki akaun, ini saja yang tinggal?
Otak ligat berkira-kira sama ada cukupkah untuk perbelanjaan kesinambungan hidup sementara menunggu gaji bulan depan. Banyak komitmen perlu dilunaskan setiap bulan. Pinjaman perumahan, ansuran kereta, yuran sekolah anak-anak dan barangan dapur seisi keluarga.
Kehidupan begini bukan lagi asing. Ini kisah benar M40. Kaya hanya di atas kertas! Gaji bulanan RM5,000 hingga RM11,000 sebulan, namun hakikatnya hanya transit.
Golongan ini kebanyakan terdiri daripada profesional, penjawat awam, eksekutif swasta yang dianggap ‘selesa’ namun sebenarnya terhimpit antara kos sara hidup tinggi dan pendapatan yang statik walaupun sudah lama bekerja. Realitinya, mereka bergelut sama seperti B40. Benar hidup ini keras!
Lebih menyedihkan, golongan ini langsung tidak layak menerima bantuan tunai, subsidi khas atau skim perlindungan sosial tertentu kerana dianggap mampu.
Tanggapan bahawa M40 hidup mewah perlu dibuang. Ironinya, mereka mungkin kelihatan senang dari luar, tetapi hakikatnya ramai berada dalam tekanan senyap.
Ada terpaksa meminjam untuk kecemasan, mengikat perut hujung bulan dan bergelut menampung kos hidup anak-anak yang makin meningkat.
Bagaimanapun, umpama mimpi bagi M40 apabila akhirnya dapat juga merasa bantuan daripada kerajaan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengumumkan beberapa langkah penghargaan kepada rakyat, khususnya golongan M40 yang sekian lama berada dalam zon yang tak cukup miskin untuk dibantu, tak cukup kaya untuk bertahan selesa.
Antaranya termasuk pemberian tunai RM100 secara sekali beri di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), penangguhan kenaikan tol lebuh raya utama dan paling menarik perhatian ialah penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter.
Penulis percaya, walaupun pemberian itu mungkin tidak mengubah sepenuhnya persepsi golongan M40 yang mengharapkan sesuatu lebih besar untuk jangka masa panjang, namun ia isyarat jelas kerajaan tidak alpa rintihan mereka.
Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis sebelum ini menyifatkan langkah ini sebagai satu bentuk keadilan sosial awal. Beliau berkata, ia isyarat bahawa kerajaan mula memberi perhatian terhadap beban yang sekian lama dipikul golongan M40 yang sebelum ini seakan ‘terpinggir’ daripada dasar-dasar bantuan kerajaan.
Bagi penurunan harga RON95, lihat macam kecil sahaja apabila beza enam sen dari harga lama RM2.05. Namun, apabila dikira, penurunan kecil ini sebenarnya boleh beri impak besar kepada pengguna.
Contohnya, kalau isi tangki penuh 50 liter, jumlah yang biasa dibayar RM102.50 kini jadi RM99.50, sudah jimat RM3 sekali isi. Kalau isi minyak empat kali sebulan, sudah RM12 sebulan boleh jimat. Setahun? Lebih RM140 boleh masuk poket.
Inilah antara contoh bagaimana dasar kecil kerajaan mampu beri nafas lega bukan sahaja pada B40 tapi juga M40. Bagi penulis, usaha kerajaan seperti penurunan harga petrol adalah permulaan baik tetapi mestilah disusuli pembaharuan lebih luas dan berani demi masa depan rakyat terutama M40. Mereka juga menyumbang besar kepada ekonomi, belanja dalam sektor perkhidmatan, pendidikan, insurans dan lain-lain.
Kisah jerih perih M40 bukanlah sebab ‘berbelanja tidak ukur baju di badan sendiri’ tetapi tentang sistem yang tidak berkembang seiring realiti semasa.
Jika kumpulan ini terus dibiarkan bergelut tanpa pelan sokongan yang berkesan, negara akan kehilangan kelas menengah yang menjadi tunjang kestabilan ekonomi dan sosial.
Justeru, kerajaan perlu sentiasa meneliti semula pendekatan bantuan. Kelayakan tidak boleh ditentukan semata-mata berdasarkan pendapatan kasar. Perlu ambil kira lokasi, jumlah tanggungan, komitmen tetap dan beban hutang isi rumah.
* Nurkhairini Jumari ialah Sub Editor Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
