Bahagia dan musnah kerana duit

KALAU ikut sejarah sebelum duit wujud, manusia guna sistem barter dengan menukar barang dengan barang.
Kemudian masyarakat mula menggunakan barang sebagai duit seperti garam, kulit siput cowrie, teh, tembaga, kain dan logam berharga.
Duit logam muncul sekitar abad ke-7 Sebelum Masihi (SM) di Lydia (Turki) dan duit syiling logam pertama dicipta menggunakan campuran emas dan perak.
Duit syiling digunakan meluas kerana mudah dibawa, tahan lama dan nilai lebih stabil.
Duit kertas pertama muncul di China pada abad ke-7 iaitu ketika Dinasti Tang tetapi digunakan secara meluas pada Dinasti Song pada abad ke-11.
Ia diperkenalkan kerana membawa logam terlalu berat, maka resit kertas sebagai bukti simpanan emas atau perak digunakan.
Dalam dunia moden, muncul duit digital yang boleh dilakukan transaksi secara dalam talian, ia tidak lagi kelihatan dalam bentuk fizikal.
Orang kata duit penting dalam kehidupan dan tidak boleh beli kebahagiaan tetapi dalam sejarah manusia ada banyak kejadian atau sejarah tercatat kerana duit dan harta manusia sanggup berperang.
Antara sejarah perang kerana duit ialah Perang Peloponnesus (431–404 SM) yang berlaku antara Athens dan Sparta.
Athens mengenakan cukai tinggi ke atas bandar jajahan untuk membiayai pertahanan. Sparta pula menyerang kerana tidak mahu Athens menguasai perdagangan di Laut Aegea.
Perang Opium berlaku pada tahun 1839 hingga 1842 dan 1856 hingga 1860 antara China dan British.
British menjual candu ke China untuk mendapatkan perak China. China pula cuba menghalang perdagangan candu, British menyerang untuk mengekalkan keuntungan perdagangan.
Perang Dunia Pertama dan Kedua pula berpunca kerana perebutan koloni kaya sumber semula jadi seperti getah, minyak dan bijih timah. Jerman dan Jepun ingin menguasai kawasan kaya sumber untuk membiayai industri perang mereka.
Peristiwa Perang Teluk pada 1990 hingga 1991 pula berlaku apabila Iraq menyerang Kuwait untuk menguasai sumber minyak. Amerika Syarikat dan sekutunya campur tangan bagi memastikan penguasaan laluan minyak Teluk tidak terganggu.
Begitulah penting dan berkuasanya duit sampai boleh menyebabkan jutaan nyawa terkorban.
Pada 23 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat pengumuman pemberian RM100 secara sekali beri melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Pengumuman itu agak jarang dilakukan dan selalunya diumumkan ketika pembentangan belanjawan yang dibuat setiap tahun.
Buat pertama kali dalam sejarah golongan M40 termasuk mahakaya berusia 18 tahun ke atas dapat merasai bantuan kerajaan.
Memang riuh rendah di media sosial mengenai langkah yang disebut sebagai luar biasa oleh Anwar selepas hampir seminggu mengeluarkan teaser mengenai perkara itu.
Sebenarnya bantuan tunai bukan benda baharu di Malaysia dan sudah diamalkan sejak sekian lama, tetapi langkah itu popular semasa zaman Datuk Seri Najib Tun Razak jadi Perdana Menteri.
Beliau memperkenalkan Bantuan Rakyat 1Malaysia atau popular disebut BR1M dan ia menjadi branding atau jenama yang cukup kuat sehingga pentadbiran selepas itu mengekalkan pemberian tunai tetapi dengan nama yang berbeza.
Ia menyebabkan, setiap kali ada pengumuman tentang bantuan-bantuan tunai yang serupa, rakyat sudah tidak ambil peduli lagi dengan usaha-usaha kerajaan.
Dan golongan yang paling tidak ambil peduli langsung dengan bantuan seperti itu lagi ialah M40 dan T20, kerana memang mereka tidak akan dapat sebarang keistimewaan langsung.
Disebabkan itu, Anwar kena cari cara supaya semua orang tahu dan sedar tentang usaha-usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Madani.
Kita ucap tahniah pada kebijaksanaan tersebut kerana ia terus diperkatakan oleh banyak pihak sejak pengumuman itu dibuat, malah baru ada yang sedar tentang wujudnya inisiatif SARA yang diberikan kepada rakyat miskin tegar untuk beli barang keperluan setiap bulan.
Jadi, kita harap bantuan atau langkah-langkah yang luar biasa ini terus dilakukan oleh kerajaan ini atau mana-mana kerajaan pun.
Kadang-kadang walaupun duit tak boleh beli kebahagiaan tetapi dengan duit kita rasa bahagia sekejap.
*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
