Langkah prorakyat yang melegakan

Keputusan kerajaan menangguhkan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya utama pada tahun ini merupakan satu tindakan tepat. Lebih-lebih lagi dalam konteks rakyat yang sedang bergelut tekanan kos sara hidup.
Berdasarkan kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, tanpa penangguhan, pengguna jalan raya akan berdepan kenaikan tol sehingga 83 peratus, dengan 50 sen hingga RM4.56 untuk kenderaan kelas satu.
Justeru, semua pihak wajar menyokong penuh langkah ini yang menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap beban harian rakyat. Jika kenaikan ini dibiarkan, impaknya pasti amat dirasai oleh hampir sejuta pengguna yang melalui lebuh raya ini setiap hari, terutamanya golongan pekerja, pelajar dan peniaga kecil yang bergantung kepada jaringan lebuh raya untuk urusan harian mereka.
Lebuh raya yang terlibat pula bukan calang-calang. Ia merangkumi laluan strategik seperti DUKE, MEX, Latar, SKVE dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, yang menghubungkan pusat pertumbuhan ekonomi utama di Lembah Klang, Utara dan Pantai Timur.
Walaupun langkah ini menuntut komitmen kewangan yang besar, dianggarkan hampir RM568.92 juta setahun untuk pampasan kepada syarikat konsesi, namun ia satu pelaburan sosial yang wajar dalam membantu meringankan tekanan kewangan rakyat.
Malah, kementerian menjelaskan bahawa jumlah pampasan ini masih tertakluk kepada trafik sebenar dan pengesahan juruaudit, menandakan keprihatinan terhadap ketelusan dan tanggungjawab fiskal.
Sebagai rakyat, kita juga perlu memahami bahawa penghapusan tol sepenuhnya adalah tidak realistik buat masa ini. Seperti dinyatakan menteri, ia memerlukan dana berbilion ringgit bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan.
Kerajaan perlu fikirkan juga kepentingan semua pihak kerana dana ini boleh juga disalurkan kepada negeri-negeri lain yang tidak menggunakan lebuh raya bertol.
Secara keseluruhan, penangguhan ini bukan sahaja mengelakkan kejutan ekonomi kepada pengguna lebuh raya, malah mencerminkan bahawa kerajaan sedang bergerak ke arah dasar yang lebih mesra rakyat.
Namun pada masa hadapan, langkah seperti semakan semula kadar tol pasca-ROI wajar dipertimbangkan untuk jangka panjang yang lebih adil dan mampan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
