Gagal siapkan rumah, kontraktor dijel enam minggu

KOTA KINABALU - Seorang kontraktor dijatuhi hukuman penjara enam minggu selepas mengaku bersalah gagal mematuhi award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) berhubung tuntutan kegagalan menyiapkan rumah pelanggannya.
Tertuduh, Jasri Jair, 50, membuat pengakuan bersalah itu di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.
Menurut pertuduhan, tertuduh pada 13 November 2024 di Kampung Darau Baru, Manggatal, didapati masih gagal mematuhi award TTPM bertarikh 20 Mei tahun sama, yang dikeluarkan oleh Tribunal TTPM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah.
Award tersebut mengarahkan Jasri membayar balik RM21,700 kepada penuntut dalam tempoh 14 hari daripada tarikh award diserahkan, namun beliau gagal berbuat demikian.
Tertuduh sebelum ini telah disabitkan atas kesalahan sama mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 pada 5 November 2024, dan didakwa semula mengikut seksyen sama yang memperuntukkan penalti tambahan di bawah Seksyen 117(2) akta tersebut kerana melakukan kesalahan secara berterusan selepas sabitan.
Mengikut peruntukan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang RM100 dan tidak melebihi RM5,000 bagi setiap hari atau sebahagian hari sepanjang kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan denda RM27,100, iaitu bersamaan RM100 sehari bermula dari 5 November 2024 sehingga hari ini.
Bagaimanapun, tertuduh gagal membayar denda dan diarahkan menjalani hukuman penjara selama enam minggu sebagai ganti.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Md Shafique Md Helmi dan Malai Rosidi Malai Muhamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

