'Geng magic' curi wang pelancong tumpas

Sulizmie Affendy (dua kiri) menunjukkan barangan yang dirampas dari ‘geng magic’ yang menyasarkan pelancong asing untuk diperdaya bagi menyerahkan wang tunai milik mereka.
Sulizmie Affendy (dua kiri) menunjukkan barangan yang dirampas dari ‘geng magic’ yang menyasarkan pelancong asing untuk diperdaya bagi menyerahkan wang tunai milik mereka.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seramai lima warga asing ‘geng magic’ ditahan kerana disyaki menyasarkan pelancong asing untuk diperdaya bagi menyerahkan wang tunai milik mereka.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, kesemua suspek yang berasal dari Timur Tengah itu ditahan dalam dua serbuan berasingan masing-masing pada 22 dan 24 Julai di sekitar Kuala Lumpur.

"Siasatan mendapati modus operandi digunakan mereka ialah berpura-pura berminat untuk melihat mata wang negara lain, suspek menggunakan kemahiran untuk mengambil wang tersebut tanpa disedari mangsa.

“Dalam serbuan pertama, kita menahan tiga lelaki dan seorang wanita berusia 20 hingga 50 tahun di sekitar Jalan Sultan Ismail dan merampas mata wang bernilai lebih RM16,000 dari pelbagai negara Eropah, Asia Selatan, Timur Tengah, Asia Tengah dan Asia Tenggara," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini pada Selasa.

Sulizmie Affendy berkata, manakala dalam serbuan kedua di Jalan Bukit Bintang, seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 20an ditahan dan wang tunai lebih RM360 telah dirampas.

"Siasatan mendapati semua suspek telah berada di negara ini sejak September tahun lalu dan mendakwa memasuki Malaysia menerusi laluan di Bukit Kayu Hitam, namun mereka memberi alasan telah kehilangan pasport ketika ditahan.

"Sejak tahun lalu, kita telah menerima lebih 50 laporan berhubung kes menggunakan taktik seperti ini dan akan terus membuat penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan pelancong asing di Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata, semua suspek yang ditahan dalam serbuan pertama direman empat hari mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) bermula 23 Julai hingga 26 Julai dan disambung 14 hari mengikut Akta Imigresen 1959/63 bermula 27 Julai hingga 9 Ogos ini.

"Suspek yang ditahan dalam serbuan kedua pula direman empat hari mengikut Seksyen 117 KTJ bermula 25 Julai hingga 28 Julai dan disambung 14 hari mengikut Akta Imigresen 1959/63 bermula 29 Julai hingga 11 Ogos ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

"Kita percaya masih ada suspek yang menggunakan taktik sama untuk menipu mangsa masih menjalankan kegiatan mereka di sekitar Kuala Lumpur," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!