[VIDEO] Amanah Perak, NGO gesa polis siasat Ahmad Fadhli

A
A
A

IPOH – Parti Amanah Negara (Amanah) Perak bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak siasatan dijalankan terhadap Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari susulan satu hantaran di Facebook yang didakwa berbaur penghinaan dan provokatif.

Mohd Fitri (dua dari kiri) bersama NGO menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Ipoh pada Selasa.
Mohd Fitri (dua dari kiri) bersama NGO menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Ipoh pada Selasa.

Pengarah Biro Undang-Undang (Kanun) Amanah Perak, Mohd Fitri Asmuni berkata, hantaran dimuat naik oleh Ahmad Fadhli pada 26 Julai lalu memaparkan satu karikatur haiwan yang menggambarkan pemimpin negara dan disifatkan sebagai keterlaluan.

Menurutnya, tindakan Ketua Penerangan Pas Pusat itu menunjukkan sikap tidak profesional dan tidak matang, malah bertentangan dengan nilai-nilai Islam yang menuntut umatnya menjadi pendamai dalam sebarang pertelingkahan.

“Karikatur itu jelas bersifat penghinaan dan provokatif terhadap usaha Perdana Menteri Malaysia yang juga Pengerusi ASEAN dalam mendamaikan konflik antara Thailand dan Kemboja.

“Kita tahu, usaha perdamaian yang digerakkan oleh Malaysia telah mendapat pengiktirafan antarabangsa, termasuk daripada Amerika Syarikat dan China, dua kuasa besar dunia. Malangnya, ia dijadikan bahan sindiran oleh seorang ahli parlimen,” katanya ketika ditemui pemberita.

Terdahulu, laporan berkenaan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada Selasa oleh kepimpinan Pemuda Amanah Negeri, Angkatan Muda Keadilan (AMK), dan beberapa NGO termasuk Wadah Pencerdasan Umat (Wadah) Negeri Perak serta Persatuan Patriotik Rakyat Perak.

Mohd Fitri berkata, sebagai pemimpin dan agamawan, Ahmad Fadhli sepatutnya menunjukkan contoh yang baik serta menyokong sebarang usaha ke arah perdamaian, bukannya menyindir secara tidak bertanggungjawab.

Artikel Berkaitan:

“Ini satu penghinaan bukan sahaja kepada Perdana Menteri, tetapi juga kepada pemimpin Kemboja dan Thailand. Ia boleh menjejaskan hubungan diplomatik dan menimbulkan kemarahan rakyat negara terbabit.

“Sebagai ahli Parlimen, beliau perlu mengangkat nilai demokrasi, menghormati sensitiviti antarabangsa dan tidak mengeruhkan keadaan dengan sindiran sebegitu rupa. Jika dibiarkan, ia boleh dinormalisasikan dan ditiru oleh pihak lain,” ujarnya.

Sementara itu, wakil Wadah Negeri Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, beliau menyokong penuh laporan polis yang dibuat dan berharap tindakan tegas dapat diambil segera terhadap Ahmad Fadhli.

“Seorang wakil rakyat tidak sepatutnya berkelakuan seperti ini. Mereka seharusnya sensitif terhadap isu serantau dan antarabangsa, bukannya menambah keruh.

“Perkara ini jika dibiarkan akan memberi gambaran buruk terhadap Malaysia, khususnya kepada Perdana Menteri yang kini mempengerusikan ASEAN,” katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan bahawa tindakan seperti itu boleh mencetuskan ketegangan diplomatik dan menjejaskan imej negara di peringkat antarabangsa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!