Bebas? Nasib Eda Ezrin masih tergantung

Nasib penyanyi Bea Sobar Bea, Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, suami dan empat rakan masih belum menemui titik akhir apabila penahanan mereka boleh disambung tanpa had masa, meskipun telah dibebaskan daripada tuduhan dadah pada 6 Mac lalu.
Nasib penyanyi Bea Sobar Bea, Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, suami dan empat rakan masih belum menemui titik akhir apabila penahanan mereka boleh disambung tanpa had masa, meskipun telah dibebaskan daripada tuduhan dadah pada 6 Mac lalu.
A
A
A

NARATHIWAT, THAILAND – Nasib penyanyi 'Bea Sobar Bea', Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, bersama suami dan empat rakan masih belum menemui titik noktah apabila penahanan mereka di Thailand boleh disambung tanpa had masa, meskipun telah dibebaskan daripada tuduhan dadah pada 6 Mac lalu.

Memetik laporan ApakhabarTV.com, Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang, Keadilan dan Hak Asasi Manusia Parlimen Thailand, Kamonsak Leewamoh berkata, proses lanjutan penahanan tersebut bergantung sepenuhnya kepada keputusan mahkamah.

"Jika pendakwa raya tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Pertama, mereka boleh memohon untuk memfailkan rayuan. Mahkamah mempunyai kuasa penuh untuk menilai dan meluluskan permohonan tersebut.

"Tempoh lanjutan ini boleh diberikan secara bulan ke bulan tanpa had masa tertentu," katanya.

Mengulas lanjut, Kamonsak menjelaskan beliau tidak mengikuti secara langsung perkembangan kes melibatkan enam rakyat Malaysia itu.

“Tetapi secara umumnya, ia bergantung kepada mahkamah. Kalau mahkamah menerima alasan pendakwa raya, maka tempoh tahanan (sebelum pendakwa raya memfailkan rayuan) akan disambung secara bulanan,” katanya.

Kamonsak yang juga Ahli Parlimen Narathiwat (Kawasan 5) berkata, mengikut undang-undang Thailand, suspek yang ditangkap akan ditahan selama 48 jam di lokap balai polis sebelum dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman.

Ujarnya, kebiasaannya tempoh reman diberikan selama tiga bulan bagi membolehkan siasatan dijalankan sebelum suspek dihadapkan ke Mahkamah Pertama.

“Tempoh perbicaraan pula bergantung kepada mahkamah. Jika mahkamah membuat keputusan bahawa tertuduh tidak bersalah, pihak pendakwa raya masih boleh memohon untuk menangguhkan keputusan bagi memfailkan rayuan.

Artikel Berkaitan:

“Sekiranya tertuduh merupakan rakyat asing, mereka tidak akan dibebaskan serta-merta, tetapi akan ditahan di penjara sementara menunggu pendakwa raya memfailkan rayuan. Jika tertuduh merupakan penduduk tempatan, mereka dibenarkan jaminan,” katanya.

Kamonsak, yang juga seorang pengamal undang-undang tempatan, berkata dalam tempoh menunggu rayuan rasmi, pendakwa raya boleh memohon lanjutan masa untuk memfailkan rayuan, dan kebenaran itu hanya diberikan secara bulanan.

Tambah beliau, kebiasaannya kes berkaitan dadah tidak sampai ke peringkat Mahkamah Agung.

Untuk rekod, Mahkamah Wilayah Narathiwat telah membebaskan Eda Ezrin, suaminya Mohd Affendi Ahmad, 35, bersama Eridieka Mohd Noor, 33, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, daripada tuduhan memiliki secara bersama 6,059 biji pil methamphetamine pada 6 Mac lalu.

Bagaimanapun, pendakwa raya memaklumkan akan memfailkan rayuan dan kesemua mereka dihantar semula ke Penjara Pusat Narathiwat. Dalam tempoh tersebut, mahkamah telah membenarkan permohonan lanjutan tempoh memfailkan rayuan.

Susulan itu, mahkamah membenarkan permohonan pertama pendakwa raya untuk melanjutkan tempoh memfailkan rayuan bermula 6 Mac hingga 6 April, kedua (6 April hingga 6 Mei), ketiga (6 Mei hingga 6 Jun), keempat (10 Jun hingga 6 Julai) dan kelima (6 Julai hingga 6 Ogos). Ini bermakna semua tertuduh kekal di penjara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!