'Ada berita baik, Eda Ezrin mungkin dibebaskan' - keluarga

KOTA BHARU - "Ada berita baik, Eda Ezrin mungkin dibebaskan."
Demikian perkongsian Wan Ismail Wan Yusof, 52, bapa kepada penyanyi sohor Kelantan, Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, yang kini ditahan di Penjara Pusat Narathiwat bersama suami serta empat lagi rakannya.
"Kali terakhir kami melawat dia dua minggu sebelum Aidiladha.
"Eda Ezrin pun ada bertanya khabar bila dia nak bebas. Kata dia, duduk di penjara langsung tidak diberitahu apa-apa perkembangan atau berita," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Menurut dia, dipihak keluarga juga mereka tidak mengetahui apa-apa perkembangan.
Ujarnya, bagaimanapun terdapat ura-ura ada berita baik berkaitan Eda Ezrin.
"Ada perkembangan nak ke arah bebas. Harap dibebaskan seawal mungkin, awal Julai ini," katanya.
Wan Ismail memberitahu, dipihak keluarga mereka tidak berhenti berdoa dan melakukan solat sunat Hajat agar semuanya dipermudahkan buat Eda Ezrin, suami serta empat sahabat yang lain.
Sinar Harian pada 5 Jun lalu melaporkan, nasib Eda Ezrin bersama suami serta empat rakannya, mungkin ditentukan oleh Mahkamah Agung Thailand.
Memetik laporan Apakhabartv.com pada Rabu, jurucakap Mahkamah Wilayah Narathiwat berkata, situasi itu tidak mustahil berlaku berdasarkan kes-kes sebelum ini.
“Dengan jumlah dadah yang dirampas terlalu banyak... ya, kes ini dijangka dibawa ke Mahkamah Rayuan, malah mungkin sehingga ke Mahkamah Agung. Ini pastinya akan memakan masa bertahun-tahun untuk diselesaikan. Jika bebas, semua bebas, kalau bersalah semua akan dipenjara.
“Dadah yang dirampas banyak tetapi tiada siapa yang mengaku, inilah yang pendakwa raya akan buktikan. Sekiranya seorang atau dua orang mengaku, yang lain akan bebas,” katanya.
Menurut jurucakap itu, Mahkamah Wilayah Narathiwat telah meluluskan permohonan pendakwa raya untuk melanjutkan tempoh memfailkan rayuan terhadap pembebasan penyanyi wanita sohor dari Kelantan itu, suaminya serta empat rakan mereka daripada tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda jenis methamphetamine.
Katanya, keputusan itu menyaksikan Eda Ezrin bersama suami serta empat lagi rakannya akan terus ditahan di Penjara Pusat Narathiwat sehingga 6 Julai depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

