Isu parkir pintar: PBT bukan syarikat cari untung – William Leong

SELAYANG – Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen mempersoalkan rasional pihak berkuasa tempatan (PBT) menyerahkan pengurusan Sistem Parkir Pintar (SIP) kepada syarikat swasta yang berpotensi menjejaskan matlamat asal penubuhan badan itu.
Beliau berkata, masih terdapat kekeliruan terhadap peranan dan tanggungjawab sebenar PBT kerana fungsinya bukan seperti syarikat korporat yang beroperasi untuk keuntungan semata-mata.
“Saya rasa kita tidak jelas tentang peranan dan tanggungjawab sebenar PBT. Ia bukan syarikat swasta yang beroperasi untuk mencari keuntungan tetapi badan kerajaan yang menyediakan kemudahan kepada rakyat,” ujarnya.
Menurut beliau, sekiranya pelaksanaan SIP benar-benar mampu memberi pulangan lebih baik, persoalan penting yang timbul ialah mengapa PBT tidak menguruskan sistem tersebut secara dalaman dengan tenaga kerja dan sumber yang sedia ada.
“PBT sudah pun mempunyai kakitangan dan sumber untuk menguruskan sistem ini. Mengapa perlu keuntungan itu diserahkan kepada syarikat swasta?” ujarnya lagi.
Beliau menegaskan, fungsi utama PBT adalah untuk menyediakan kemudahan asas kepada masyarakat, termasuk pengangkutan awam dan ruang parkir, bukan menjana keuntungan secara komersial.
“Penduduk dan peniaga sudah membayar cukai dan penilaian (assessment). Apa yang mereka perlukan ialah kemudahan, seperti bas dan ruang parkir supaya pelanggan boleh datang membeli-belah dan merancakkan ekonomi setempat,” ujarnya.
William turut memberi amaran bahawa penglibatan pihak swasta dalam urusan parkir boleh menyebabkan keutamaan mereka tertumpu kepada keuntungan semata-mata, sekali gus mendorong kepada peningkatan kadar caj parkir secara tidak wajar.
“Syarikat swasta akan menilai sama ada mereka memperoleh keuntungan atau tidak. Kemungkinan besar caj akan dinaikkan kerana fokus mereka bukan kepada kebajikan rakyat tetapi keuntungan,” ujarnya.
Justeru, beliau menggesa kerajaan negeri dan pengurusan PBT agar menilai semula tanggungjawab sosial mereka sebelum meneruskan pelaksanaan sistem terbabit.
“Kita tidak kata parkir perlu percuma tetapi caj yang dikenakan tidak boleh terlalu tinggi. Ia perlu munasabah dan berpatutan dengan matlamat asal menyediakan kemudahan kepada rakyat,” jelas beliau.
Media sebelum ini melaporkan pelaksanaan SIP adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri Selangor di bawah program Smart Selangor yang bertujuan menyelaraskan pengurusan parkir di kawasan PBT menggunakan teknologi terkini.
Sistem itu bakal dilaksanakan di empat PBT terlibat iaitu Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Selayang.
Berdasarkan cadangan awal, pelaksanaan SIP melibatkan kerjasama antara PBT, syarikat konsesi swasta dan Rantaian Mesra Sdn Bhd, anak syarikat Menteri Besar Selangor (Incorporated) yang akan bertindak sebagai penyelaras sistem.
Bagaimanapun, kerajaan negeri melalui Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim mengesahkan bahawa perjanjian konsesi SIP masih belum dimuktamadkan dan berkemungkinan ditangguhkan sekiranya memerlukan semakan lanjut.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kadar caj parkir tidak akan dinaikkan walaupun sistem baharu itu diperkenalkan dan perjanjian rasmi dijangka ditandatangani pada Ogos 2025 selepas perbincangan teknikal dan tadbir urus dimuktamadkan.
Dalam masa sama, beberapa pihak termasuk kumpulan masyarakat dan ahli Parlimen membangkitkan kebimbangan bahawa pelaksanaan sistem itu boleh menyebabkan PBT kehilangan hasil kutipan parkir yang selama ini menjadi antara sumber utama pendapatan tahunan mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

