'Belum ada maklum balas isu peruntukan ahli Parlimen pembangkang' - Takiyuddin

KOTA BHARU – Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendedahkan bahawa Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof masih belum memberi sebarang maklum balas terhadap surat yang dihantar beliau sebelum ini untuk membincangkan isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
Takiyuddin berkata, surat tersebut dihantar secara serahan tangan kepada Fadillah sebulan lalu, namun setakat ini tiada sebarang maklum balas diterima daripada pihak Timbalan Perdana Menteri II itu.
“Setakat ini, tiada sebarang maklum balas yang diberikan. Bagi Ahli Parlimen di negeri yang PN menjadi kerajaan negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, mereka menerima peruntukan daripada kerajaan negeri, tetapi sedikit sahaja,” jelas Takiyuddin.

Beliau juga menerangkan bahawa peruntukan itu disalurkan melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk kawasan Parlimen yang terlibat. Namun, Ahli Parlimen yang berasal dari negeri yang tidak ditadbir oleh PN, seperti Selangor, Perak, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, tidak menerima peruntukan tersebut.
Menurut beliau, ahli Parlimen di negeri-negeri tersebut terpaksa menggunakan wang poket sendiri untuk membantu rakyat, dan mereka juga sering mencari sumbangan daripada pihak luar supaya kerja-kerja membantu rakyat dapat diteruskan.
"Sebagai contoh, untuk Majlis Hari Raya Aidilfitri, jika kita ada peruntukan dari kerajaan, kita boleh belanja untuk rakyat. Tetapi hari ini, kami terpaksa mencari sendiri dengan berkongsi bersama ADUN-ADUN," katanya.
Beliau juga memberikan contoh, aiskrim untuk majlis tersebut terpaksa dicari penaja kerana mereka tidak mampu membeli dengan dana sendiri akibat ketiadaan peruntukan yang besar.
Setiausaha Agung Pas itu menggesa supaya Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Pakatan Harapan (PH) dapat menunaikan janji manifesto mereka dengan menyalurkan peruntukan sama rata kepada Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
"Biasanya mereka tidak memberi peruntukan, tetapi ketika PN menjadi kerajaan, kami beri peruntukan dengan adil," ujar Takiyuddin.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa PN telah menghantar surat kepada kerajaan untuk membincangkan perkara berkaitan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
Takiyuddin menjelaskan bahawa surat tersebut bertujuan untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut mengenai apa yang dimaksudkan oleh kerajaan berhubung dengan rundingan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

