Bursa Malaysia ditutup paras terendah dalam tempoh 10 tahun

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bursa Malaysia ditutup rendah dalam dagangan 'Black Monday' hari ini, diasak tekanan jualan ketara dan seiring dengan penyusutan pasaran serantau dengan indeks penanda aras tempatan itu mencecah paras terendah dalam tempoh 10 tahun.

Sewaktu ditutup, indeks utama FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) susut 64.12 mata atau 4.76 peratus kepada 1,280.63.

Selepas dibuka turun 25.38 mata kepada 1,319.37 pagi ini, indeks petunjuk utama itu bergerak dalam jajaran 1,278.48 hingga 1,319.37 sepanjang dagangan hari ini.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 4.47 bilion saham bernilai RM3.68 bilion daripada 5.67 bilion saham bernilai RM4.90 bilion dicatatkan pada Jumaat lepas.

Seorang peniaga berkata, asakan tekanan jualan terus berleluasa dalam pasaran tempatan berikutan ketidaktentuan membabitkan penularan koronavirus (Covid-19) yang telah mencetuskan sekatan perjalanan dan kebimbangan berlakunya kemelesetan ekonomi selain faktor harga minyak mentah global.

Menurutnya, penurunan FBM KLCI itu juga ketara di peringkat serantau apabila Indeks Straits Times Singapura jatuh 4.95 peratus kepada 2,503.60 manakala Indeks Hang Seng Hong Kong susut 4.03 peratus kepada 23,063.57 dan Indeks Komposit Jakarta turun 4.48 peratus kepada 4,687.86.

Sementara itu, Penganalisis Kanan Pasaran OANDA bagi rantau Asia Pasifik, Jeffrey Halley berkata, tindakan agresif Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) menurunkan kadar faedah berbanding daripada bertindak menenangkan pasaran, ternyata hanya membuktikan sejauh mana keadaan itu di peringkat antarabangsa.

"Langkah pihak Fed, khususnya yang bertindak menurunkan kadar faedah sebanyak 100 mata asas pastinya akan mencetuskan pengurangan kadar faedah secara agresif oleh bank-bank pusat Asia pada minggu ini.

Artikel Berkaitan:

“Pasaran Asia misalnya sudah dijangka memulakan minggu ini dengan lebih sukar apabila pihak bank pusat menurunkan lagi kadar faedah yang dilihat bertujuan memberi sokongan lanjut," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Pemantauan di laman web Bursa Malaysia juga menunjukkan bursa tempatan itu menggantung dagangan harian proprietari (PDT) dan jualan singkat harian (IDSS) sejumlah 23 syarikat hari ini, termasuk UMW Holdings Bhd, DRB-Hicom Bhd, Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd, Sunsuria Bhd dan MyEG Services Bhd.

Penggantungan itu dibuat selepas saham-saham terbabit susut melebihi 15 peratus daripada harga rujukan.

Menurut bursa saham itu, aktiviti PDT dan IDSS bagi kaunter-kaunter itu akan hanya disambung semula pada hari dagangan berikutnya pada 8.30 pagi Selasa, 17 Mac, 2020.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank susut 59 sen kepada RM7.29, Tenaga turun 52 sen kepada RM11.30, Public Bank rugi 80 sen kepada RM14.50 dan IHH rendah 38 sen kepada RM5.00.

Bagi saham aktif, Bumi Armada susut 2.5 sen kepada 13.5 sen, Sapura Energy turun satu sen kepada 9.5 sen manakala Velesto berkurangan 3.5 sen kepada 12.5 sen.

Indeks FBM Emas merosot 537.05 mata kepada 8,789.41, FBM 70 jatuh 906.51 mata kepada 10,103.72 dan Indeks FBM Emas Shariah turun 474.66 mata kepada 9,510.33.

Indeks FBMT 100 menguncup 510.45 mata kepada 8,708.51 dan FBM Ace kehilangan 510.22 mata kepada 3,781.77.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri susut 6.99 mata kepada 103.68, Indeks Perladangan turun 11.14 mata kepada 5,836.37 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot ah 927.05 mata lebih lemah pada 11,895.29.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 3.35 bilion saham bernilai RM3.50 bilion daripada 4.19 bilion saham bernilai RM4.67 bilion sewaktu ditutup pada Jumaat.

Jumlah waran berkurangan kepada 3.71 bilion unit bernilai RM56.82 juta daripada 528.18 juta unit bernilai RM69.99 juta.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan turun kepada 750.50 juta saham bernilai RM124.79 juta daripada 949.21 juta saham bernilai RM155.14 juta.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 461.83 juta saham didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan industri (543.45 juta), pembinaan (284.83 juta), teknologi (307.59 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (175.05 juta), hartanah (254.71 juta), perladangan (75.04 juta), REIT (40.93 juta), dana tertutup (64,500), tenaga (866.64 juta), penjagaan kesihatan (92.10 juta), telekomunikasi dan media (64.98 juta), pengangkutan dan logistik (111.44 juta) serta utiliti (72.39 juta). - Bernama