[VIDEO] Pekerja kedai didakwa pecah amanah wang koperasi

A
A
A

SEREMBAN - Seorang pekerja kedai serbaneka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan pecah amanah melibatkan wang milik koperasi berjumlah hampir RM200,000.

Tertuduh, Noorazwin Zullkifli, 36, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.

Mengikut pertuduhan, Noorazwin yang ketika itu bertugas sebagai kerani di koperasi berkenaan, didakwa melakukan pecah amanah jenayah dengan memindahkan wang berjumlah RM199,491.79 secara dalam talian.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 2 Februari 2023 hingga 22 Mac 2024 di Medan Koperasi Bandar Enstek, Nilai.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi 14 tahun, sebatan, serta boleh dikenakan denda jika disabitkan kesalahan.

Tertuduh (tengah) tiba di Mahkamah Sesyen Seremban pada Selasa.
Tertuduh (tengah) tiba di Mahkamah Sesyen Seremban pada Selasa.

Timbalan Pendakwa Raya, Syamimi Farhana Muhammad A Aziz, menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Ahmad Muzhaffar Abdul Razak memohon agar jumlah jaminan dikurangkan memandangkan pendapatan anak guamnya sebagai pekerja kedai serbaneka adalah sebanyak RM1,800 sebulan serta mempunyai tanggungan tiga anak berusia antara empat hingga tujuh tahun.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan sebutan semula kes ditetapkan pada 9 September depan.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan, dilarang mengganggu saksi, serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!