[VIDEO] Rakyat tanggung kenaikan tol sehingga 83 peratus jika tiada penangguhan - Menteri Kerja Raya

A
A
A

KUALA LUMPUR - Rakyat akan menanggung kenaikan kadar tol sehingga 83 peratus pada tahun ini sekiranya kerajaan tidak melaksanakan penangguhan bagi 10 lebuh raya di negara ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kuantum kadar kenaikan bagi kenderaan kelas satu berdasarkan Perjanjian Konsesi bagi 10 lebuh raya yang terlibat adalah antara 50 sen hingga RM4.56.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ketika sidang Dewan Rakyat pada Selasa.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ketika sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

"Sekiranya penangguhan kenaikan kadar tol tidak dilaksanakan, pengguna yang menggunakan 10 lebuh raya terlibat akan merasai impak signifikan kerana pada masa ini terdapat jurang besar antara kadar tol yang dikenakan kepada pengguna berbanding ditetapkan dalam perjanjian konsesi.

"Kementerian berharap pelaksanaan penangguhan kenaikan ini dapat meredakan kos sara hidup rakyat terutama bagi pengguna yang kerap menggunakan lebuh raya dalam urusan harian dan berulang alik ke tempat kerja," katanya ketika sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lalu mengumumkan penangguhan kenaikan kadar tol bagi tahun ini di 10 buah lebuh raya iaitu Lebuhraya Cheras - Kajang (Gradsaga); Lebuhraya KL - Kuala Selangor (Latar); Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB); Lebuhraya Senai - Desaru (SDE) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).

Selain itu turut terlibat Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE); Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS); Lebuhraya Duta - Ulu Kelang (DUKE); Lebuhraya Kuala Lumpur - Putrajaya (MEX) dan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB).

Dalam pada itu Alexander (GPS-Kapit) memaklumkan, kerajaan perlu menanggung kos pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya dengan anggaran RM568.92 juta setahun.

Artikel Berkaitan:

Walau bagaimanapun menurutnya, penetapan jumlah pampasan sebenar yang perlu dibayar tertakluk kepada jumlah trafik sebenar serta pengesahan juruaudit operasi kerajaan dan syarikat konsesi.

"Penangguhan kenaikan kadar tol ini akan memberi manfaat kepada 941,000 pengguna yang menggunakan 10 lebuh raya tersebut," ujarnya.

Sementara itu menjawab soalan tambahan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mengenai penghapusan tol, Alexander menjelaskan, tindakan sedemikian tidak mudah dilakukan kerana kerajaan perlu mencari dana yang besar bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan.

"Bagi tujuan ini (hapus tol) perlukan berbilion ringgit. Kalau begini, dana kerajaan boleh digunakan di negeri lain yang tidak menggunakan lebuhraya berkenaan.

"Jadi tidak perlu (tol) dimansulkan, cuma kalau tempoh syarikat konsesi sudah mencapai keuntungan dan ROI (pulangan pelaburan), mungkin kadar tol boleh diturunkan. Itu lebih praktikal dan realistik," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!