Jerat licik penjenayah moden hari ini

PELABURAN tidak wujud kini menjadi antara jenayah moden paling licik dalam mengeksploitasi kepercayaan mangsa mengeluarkan wang kononnya untuk melabur.
Peluang kekayaan segera yang digambarkan sindiket sebenarnya hanya muslihat yang disusun rapi oleh mereka untuk menjerat individu yang mudah terpedaya dengan janji pulangan tinggi dalam masa singkat.
Berdasarkan statistik terkini yang dikeluarkan pihak berkuasa, jumlah kerugian akibat penipuan pelaburan tidak wujud mencecah jutaan ringgit saban tahun dengan ratusan mangsa terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk pesara, penjawat awam, ahli perniagaan dan juga golongan profesional.
Kes terbaharu, seorang lelaki warga emas kerugian lebih RM800,000 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian tidak wujud.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata dilaporkan berkata, mangsa berusia 70-an itu terpedaya dengan iklan pelaburan di laman sosial.
Teruja dengan tawaran pulangan lumayan, mangsa telah melakukan beberapa transaksi ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek.
Meskipun telah dinasihati ahli keluarga agar menghentikan tindakan tersebut, mangsa tetap meneruskan pelaburan berkenaan sehingga menyedari ditipu.
Modus operandi sindiket penipuan menggunakan media sosial sebagai platform untuk mempromosikan iklan pelaburan tidak wujud kepada mangsa menerusi algoritma, lengkap dengan testimoni palsu.
Kebanyakan mangsa berasa yakin selepas melihat bukti kononnya mereka yang menyertai sebelum ini telah menikmati pulangan lumayan. Namun hakikatnya, semuanya palsu dan direka khas untuk memperdaya.
Apa yang lebih membimbangkan, mangsa biasanya tidak menyedari mereka ditipu sehingga wang pelaburan tidak lagi dapat dikeluarkan atau wakil pelaburan mula menghilangkan diri.
Sindiket turut memanipulasi mangsa agar terus melabur kononnya untuk ‘unlock’ bonus tertentu atau menaik taraf akaun ke peringkat lebih tinggi.
Mangsa yang sudah terjebak akan terdorong untuk terus membayar walaupun sebenarnya sudah rugi besar.
Siasatan terhadap kes penipuan pelaburan tidak wujud sering kali mencabar kerana kebanyakan transaksi dilakukan dalam talian, melibatkan akaun bank yang diperoleh menggunakan keldai akaun.
Antara punca utama mangsa mudah terjerat kerana tamak dan kurang pengetahuan tentang sistem kewangan.
Ramai yang terpesona dengan ayat promosi seperti ‘peluang sekali seumur hidup’, ‘jaminan keuntungan dalam tujuh hari’ atau ‘dijamin tanpa risiko’.
Sebenarnya, mana-mana pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam masa singkat patut dianggap mencurigakan.
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dalam kenyataan sebelum ini menyatakan sindiket sering kali menawarkan pulangan yang tidak realistik dalam tempoh masa yang amat singkat. Sebagai contoh, pelabur dijanjikan untuk menerima pulangan RM300 dengan hanya melabur dalam masa 12 jam.
Sindiket sering menggunakan teknik tekanan masa dengan menyatakan bahawa peluang pelaburan hanya tersedia untuk tempoh masa yang terhad.
Ia adalah untuk memaksa pelabur membuat keputusan dengan tergesa-gesa tanpa mempertimbangkan risiko.
Sindiket kemudian meminta mangsa untuk memasukkan wang ke dalam akaun individu (keldai akaun) atau akaun bank yang tidak berkaitan.
Orang ramai dinasihatkan supaya menyemak terlebih dahulu latar belakang syarikat atau individu yang menawarkan pelaburan.
Semakan boleh dilakukan melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau laman sesawang Bank Negara Malaysia.
Masyarakat perlu sentiasa berhati-hati, menyemak kesahihan setiap tawaran pelaburan dan tidak mudah terpengaruh dengan janji pulangan tinggi.
Ingatlah, jika sesuatu tawaran kelihatan terlalu baik untuk menjadi kenyataan, ia mungkin satu penipuan. Sentiasa lakukan penyelidikan dan berunding dengan pakar kewangan sebelum melabur.
Jangan sesekali melabur hanya kerana terpengaruh dengan cerita kejayaan palsu. Wang hasil titik peluh tidak sepatutnya lebur begitu sahaja hanya kerana keinginan untuk cepat kaya.
* Ahmad Ismadi Ismail ialah Wartawan Meja Jenayah Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
