Tidak puas hati hal kerja punca lelaki acu pisau pada rakan sekerja

AMPANG – Seorang lelaki bertindak mengacukan pisau kepada rakan sekerjanya gara-gara perselisihan faham akibat tidak berpuas hati terhadap hal kerja di sebuah restoran di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, berlaku pertengkaran mulut antara kedua-dua lelaki terbabit.
Menurutnya, suspek telah mengajak mangsa ke belakang kedai.
“Apabila ajakan itu ditolak, suspek mengambil pisau dan mengacukannya ke arah mangsa.
“Kejadian tersebut menyebabkan berlaku pergelutan sebelum suspek memaksa mangsa ke belakang kedai. Mangsa kemudiannya bertindak melarikan diri,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mohd Azam berkata, bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya telah menahan suspek kira-kira jam 11 malam pada Isnin.
Tambah beliau, suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau telah direman selama tiga hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
