AS puji peranan Anwar dalam gencatan senjata Thailand-Kemboja

Rubio menegaskan AS kekal komited dalam menyokong proses damai Thailand-Kemboja dan akan terus terlibat secara aktif dalam inisiatif bersama Malaysia.
Rubio menegaskan AS kekal komited dalam menyokong proses damai Thailand-Kemboja dan akan terus terlibat secara aktif dalam inisiatif bersama Malaysia.
A
A
A

SHAH ALAM - Amerika Syarikat (AS) memuji kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha menjayakan rundingan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja yang mencapai kata sepakat untuk menghentikan konflik sempadan mulai tengah malam Isnin.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, dalam satu kenyataan pada Isnin, menyifatkan gencatan senjata itu sebagai langkah penting ke arah mengakhiri ketegangan yang berlarutan sejak beberapa minggu lalu di sempadan dua negara jiran di Asia Tenggara itu.

"Presiden Donald Trump dan saya komited terhadap penghentian segera segala bentuk keganasan, dan menjangkakan agar kedua-dua negara menunaikan komitmen mereka untuk menamatkan konflik ini.

"Kami amat menghargai kepimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta kesediaan beliau menjadi tuan rumah bagi rundingan gencatan senjata ini," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambah Rubio, AS kekal komited dalam menyokong proses damai itu dan akan terus terlibat secara aktif dalam inisiatif bersama Malaysia.

"Kami menggesa semua pihak yang terlibat agar mematuhi sepenuhnya segala persefahaman yang telah dicapai," katanya.

Rundingan damai tersebut menyaksikan persetujuan bersama dicapai antara Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai.

Kejayaan tersebut diumumkan oleh Anwar selaku hos, Pengerusi ASEAN dan saksi bagi Mesyuarat Khas Thailand-Kemboja yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana.

Menurut Anwar, persetujuan itu dicapai hasil perbincangan diplomatik yang konstruktif dan langkah pertama yang penting ke arah meredakan ketegangan serta memulihkan keamanan serta keselamatan.

Artikel Berkaitan:

Satu mesyuarat tidak rasmi akan diadakan antara komander wilayah tentera Thailand dan Kemboja pada jam 7 pagi, 29 Julai 2025.

Mesyuarat tersebut akan disusuli dengan pertemuan bersama atase pertahanan yang akan diketuai oleh Pengerusi ASEAN, sekiranya dipersetujui kedua-dua pihak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!