Thailand, Kemboja setuju undurkan tentera - PM

Anwar menyampaikan sumbangan komputer riba kepada seorang pelajar pada Program Sambutan Hari Antidadah 2025 di Jitra pada Jumaat.
Anwar menyampaikan sumbangan komputer riba kepada seorang pelajar pada Program Sambutan Hari Antidadah 2025 di Jitra pada Jumaat.
A
A
A

JITRA – Thailand dan Kemboja bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata serta mengundurkan tentera masing-masing dari kawasan sempadan susulan konflik bersenjata yang tercetus sebelum ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah menghubungi Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet serta meminta agar masalah kedua-dua negara diselesaikan melalui meja rundingan.

Menurutnya, antara permintaan Malaysia adalah supaya kedua-dua pemimpin itu mengundurkan pasukan tentera masing-masing bagi mengelakkan ketegangan menjadi lebih serius.

“Saya beri pandangan dan kata, ‘Please Mr Prime Minister, on behalf of your friend in Malaysia, please stop and immediate ceasefire,’” katanya semasa berucap pada Program Sambutan Hari Antidadah 2025 di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Tambah Anwar, walaupun kedua-dua negara bersetuju dengan cadangan gencatan senjata, mereka memerlukan sedikit masa untuk menyusun semula pergerakan tentera di kawasan sempadan.

“Menurut mereka, tentera sudah berada di lokasi strategik dan memerlukan masa untuk berundur secara sistematik,” ujarnya.

Anwar menyifatkan kesediaan kedua-dua negara itu untuk meredakan ketegangan sebagai satu pencapaian diplomatik dan bukti bahawa Malaysia terus dilihat sebagai negara aman serta dihormati di peringkat serantau.

Dalam insiden terbaru, Thailand mendakwa sembilan orang awam terkorban manakala 14 lagi cedera selepas serangan artileri yang didakwa dilakukan oleh tentera Kemboja.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Kemboja menafikan dakwaan itu dan menyatakan bahawa serangan balas dilakukan selepas mereka terlebih dahulu diserang oleh tentera Thailand.

Insiden ini berlaku selepas Thailand mengerahkan jet pejuang F-16 untuk menyerang sasaran ketenteraan di wilayah Kemboja, menjadikan konflik sempadan tersebut kini memasuki fasa paling tegang sejak tahun 2011.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!