Amalan beri hadiah kepada guru benih budaya bodek - Rafizi

Rafizi
Rafizi
A
A
A

SHAH ALAM – Usaha jangka panjang dalam membanteras budaya rasuah dan korupsi perlu dimulakan melalui sistem pendidikan di sekolah.

Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, institusi sekolah sepatutnya menerapkan model kejayaan yang berbeza bagi memastikan murid membesar dengan kefahaman bahawa kejayaan diukur melalui integriti dan usaha gigih dalam pembelajaran.

“Kita ada budaya yang mana murid-murid mesti menzahirkan rasa terima kasih yang kadangkala melampau kepada orang tua dan guru.

“Daripada itu, mula wujud budaya membawa hadiah dan sebagainya. Saya lihat dengan mata sendiri dan saya rasa itu tidak baik untuk jangka panjang kerana ia adalah benih kepada budaya membodek.

“Semua itu bermula dari sekolah. Jadi sama ada perbincangan berkaitan korupsi, reformasi institusi atau ekonomi hanyalah penyelesaian jangka pendek melainkan kita baiki sistem pendidikan,” katanya menerusi hantaran program audio siar Yang Bakar Menteri di Facebook pada Isnin.

Ujar Ahli Parlimen Pandan itu, model kejayaan seperti menggalakkan murid menjadi pengawas agar dilihat bergaya juga merupakan kerangka yang memberi pengaruh tidak baik kepada mereka.

“Pada umur 16 tahun, terutama jika berada di Sekolah Berasrama Penuh (SBP), kamu (pengawas) sudah cukup berkuasa berbanding murid lain.

“Saya juga boleh menjadi pengawas (sewaktu di sekolah dahulu), tetapi saya tidak mahu walaupun guru memujuk saya bagaimana sekalipun.

“Pada saya, itu bukan model kejayaan yang saya mahukan. Saya rela menjadi seseorang yang berjaya dalam pembelajaran dan memberi impak dari segi lain,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!