Fesyen jadi platform pertukaran budaya Malaysia, negara luar

KUALA LUMPUR – Usaha memperkukuh hubungan budaya antara Malaysia dan negara luar terus diperhebat menerusi penganjuran Program Pertukaran Budaya dan Fesyen Malaysia yang dianjurkan oleh LYS Layar Style.
Program berkonsepkan ‘fesyen sebagai jambatan budaya’ itu memberi pendedahan tentang kepelbagaian budaya masyarakat berbilang kaum melalui penyertaan dalam pertunjukan fesyen.
Duta Pertukaran Budaya Antarabangsa, Janice Ang Huey Chian berkata, acara yang dijalankan secara berperingkat itu dijadualkan bermula pada 24 Ogos di Wangsa Walk Mall menerusi pertunjukan Fashion In Frame 2025, sebelum diteruskan ke lokasi kedua di Pavilion Bukit Jalil pada 1 September.

Menurutnya, pada 5 September pula, bakal berlangsung pertunjukan fesyen kebudayaan di Youth City Residence, Nilai, Negeri Sembilan yang akan disertai oleh peserta dari Malaysia dan juga Laos.
“Acara berkenaan mengetengahkan rekaan busana yang menggabungkan elemen tradisional dan moden daripada pelbagai latar budaya yang mewakili pelbagai etnik di Malaysia.
“Pihak penganjur turut menekankan bahawa program ini bukan sekadar pertunjukan fesyen, sebaliknya sebagai wadah mendidik dan menanam nilai-nilai perpaduan sejak usia muda.
“Melibatkan kanak-kanak seawal usia tiga tahun sebagai peserta dalam aktiviti sebegini membuka ruang untuk mereka memahami bahawa keindahan budaya bukan hanya milik satu kaum, tetapi adalah khazanah bersama,” ujarnya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Kemuncak program akan berlangsung pada 9 November melalui pertandingan akhir Duta Fesyen & Budaya, yang mana lebih banyak negara luar akan bersama meraikan program tersebut.
Peserta yang terlibat antaranya dari Taiwan, United Kingdom, Indonesia dan banyak lagi.
Beliau berkata, penganjur menerima pelbagai reaksi positif daripada peserta luar negara sebelum ini yang menyifatkan penyertaan dalam program tersebut mampu memberi impak terhadap perkembangan kerjaya dalam bidang peragaan.
“Program ini turut menerima perhatian individu dan juga pertubuhan badan bukan kerajaan yang melihat potensi besar dalam membentuk generasi lebih inklusif menerusi pendekatan kreatif dan interaktif seperti ini.
“Pada masa yang sama, program sebegini sudah tentu mampu mencetuskan pertumbuhan ekonomi pelancongan di negara ini,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
