Tiga pegawai PBT direman, terima rasuah mudahkan lulus pelan bangunan

Tiga pegawai PBT direman berhubung dakwaan menerima rasuah sebagai balasan memudahkan kelulusan permohonan pelan bangunan.
Tiga pegawai PBT direman berhubung dakwaan menerima rasuah sebagai balasan memudahkan kelulusan permohonan pelan bangunan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Tiga pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini direman enam hari bermula Isnin bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM25,000 sebagai balasan memudahkan kelulusan permohonan pelan bangunan.

Perintah reman sehingga 2 Ogos depan dikeluarkan Majistret Yuhanis Mohd Roslan selepas membenarkan permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini pada Isnin.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 40 hingga 50-an itu ditahan kira-kira jam 2.30 petang selepas hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu pada Ahad.

"Siasatan awal mendapati mereka dipercayai menerima wang rasuah melalui beberapa transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi masing-masing daripada sebuah syarikat yang terlibat dalam permohonan pelan kelulusan bangunan.

"Jumlah keseluruhan rasuah dianggarkan sekitar RM25,000 melibatkan 14 projek antara tahun 2015 hingga 2019," katanya di sini pada Isnin.

Difahamkan, penahanan tiga pegawai terbabit susulan siasatan kes rasuah melibatkan seorang pengarah sebuah agensi kerajaan yang ditahan pada Januari lalu membabitkan nilai rasuah kira-kira RM900,000.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

"SPRM tidak menolak kemungkinan akan ada beberapa lagi tangkapan susulan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!