Mampukah kerajaan haramkan vape?

ISU penggunaan vape kembali hangat dibincangkan apabila Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada Isnin memaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mempertimbang untuk mengharamkan rokok elektronik atau vape secara menyeluruh.
Ia selaras dengan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kesan kesihatan, peningkatan penggunaan sehingga ketagihan dalam kalangan pengguna terhadap rokok elektronik itu.
Apa yang membimbangkan, peningkatan penggunaan vape bukan sahaja berlaku dalam kalangan perokok dewasa yang kononnya ingin berhijrah dari rokok, tetapi juga semakin menular kepada remaja sekolah memandangkan harganya lebih murah untuk dimiliki.
Akses mudah, perisa menarik dan pemasaran agresif turut menjadikan vape kelihatan ‘trendy’, walaupun hakikatnya ia adalah racun dalam bentuk wap.
Setakat ini, beberapa negeri seperti Johor, Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan Pahang sudah pun mengambil pendekatan tegas dengan mengharamkan penjualan dan penggunaan vape.
Tindakan terbabit jelas menunjukkan keseriusan pihak negeri dalam menangani ancaman vape terhadap kesihatan awam terutamanya dalam kalangan generasi muda.
Pelbagai pihak termasuk Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendesak agar kerajaan tidak tunduk kepada tekanan peniaga vape yang hanya memikirkan keuntungan, sedangkan generasi muda sedang menghadapi risiko besar terhadap kesihatan dan masa depan mereka.
Menurut Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, kerajaan sebelum ini cuba mengawal selia penjualan vape, tetapi ia terbukti tidak berkesan dan masalah menjadi lebih parah apabila pihak berkuasa memberi ruang kepada industri.
Bukan sekadar larangan, langkah seperti menaikkan cukai dan menetapkan harga minimum seperti dicadangkan oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan juga wajar dilaksana dengan segera.
Jika berani mengambil tindakan tegas untuk isu-isu lain, maka dalam hal terbabit juga perlu 'all out' dan tidak boleh teragak-agak untuk vape yang jauh lebih berisiko kepada golongan muda.
Terlalu banyak kompromi terhadap industri itu hanya akan menjadikan usaha kesihatan awam sia-sia kerana vape bukan penyelesaian kepada masalah merokok, tetapi permulaan kepada krisis kesihatan yang baharu jika tidak dibendung segera.
Sebagai negara yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, ketegasan adalah satu-satunya jalan ke hadapan dalam menangani isu vape.
Justeru, usaha KKM sedang mempertimbang untuk mengharamkan vape secara menyeluruh bukan hanya perlu disokong, malah perlu dilaksanakan dengan segera demi melindungi kesihatan awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

