[VIDEO] Dua beradik didakwa culik, cederakan lelaki dihumban dalam lori
SHAH ALAM – Seorang kelindan lori dan adiknya yang bekerja sebagai penghantar barang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas dua pertuduhan melarikan serta mencederakan seorang penunggang motosikal yang dihumban ke dalam sebuah lori minggu lalu.
V Kirtik Ram, 19, yang memakai baju berwarna hijau dan V Theshvinram, 18, berbaju coklat membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.
Mengikut pertuduhan pertama, mereka bersama seorang lagi lelaki didakwa melarikan pemandu lori, Muhamad Azwar Danish Rosmadi, 21, dengan niat untuk mengurungnya secara salah dan sulit di Jalan Persiaran Puchong Permai, Bukit Puchong di sini pada jam 6.38 petang 22 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa sama dengan memukulnya di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Akhilah Rosmi mencadangkan agar setiap tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM8,000 bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, peguam Noor Farazidah yang mewakili kedua-dua tertuduh, merayu agar anak guamnya diberi jaminan pada kadar minimum.
“Mereka masih bujang dan perlu menjaga nenek yang berusia 64 tahun serta menyara tiga adik yang masih kecil.
“Theshvinram juga mempunyai masalah kesihatan iaitu sakit di bahu kanan. Selain itu, mereka adalah tertuduh muda dan telah memberi kerjasama sejurus diminta menyerah diri,” katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Majistret Mohamad Redza membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 bagi setiap pertuduhan.
Mahkamah turut menetapkan 8 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pada Jumaat lalu, seorang lagi tertuduh, P Nandakumaar, 32, yang juga penghantar barang turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan. Ketika itu, dia diwakili oleh peguam Muhammad Saifullah, Mohd Safwan Salleh dan M Partiben.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh tersebut dan menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, polis menahan seorang lelaki berusia 32 tahun bagi membantu siasatan kes melibatkan tindakan melarikan seorang penunggang motosikal dan menghumbankannya ke dalam sebuah lori di Jalan Persiaran Puchong Permai pada petang Selasa minggu lalu.
Video berdurasi 15 saat yang memaparkan beberapa lelaki bergelut dengan mangsa di dalam kenderaan terbabit tular di media sosial.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

