Tujuh lelaki warga asing didakwa culik ahli perniagaan, minta wang tebusan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tujuh lelaki warga asing dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang ahli perniagaan warga Bangladesh berusia 47 tahun bagi menuntut wang tebusan, bulan lepas.

Mereka ialah dua lelaki warga Bangladesh iaitu Sohel Rana, 40, dan Sahajahan, 37, serta lima warga Myanmar iaitu Abdul Majid Abdul Malik, 25, Soforodin Fozol Korim, 25, Mokhtar Huson Zaher Huson, 26, Mohammad Ismail Azita Rahman, 23, dan Mohammad Arafat Hussein Jamal Mustafa, 24.

Kesemua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan sebuah masjid di Sentul pada jam 11.30 malam 26 Jun lepas mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Noorelynna Hanim menetapkan 2 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Kes dikendali oleh Timbalan Pendakwa Raya Iman Nurhidayah Ezani manakala peguam K. Komagan mewakili Sohel Rana dan enam lagi tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!