Dua lelaki warga asing pukul penghantar barang diberkas

AMPANG – Dua lelaki warga asing ditahan selepas disyaki memukul seorang penghantar barang menggunakan kayu dalam kejadian di Jalan Ampang Avenue di sini pada 23 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.40 tengah hari apabila mangsa berusia 31 tahun tiba di lokasi bagi membuat penghantaran secara bayaran tunai atau cash on delivery.
“Setibanya di lokasi, pengadu telah menghampiri dua lelaki untuk menyerahkan barang. Namun, berlaku salah faham apabila suspek memarahi pengadu kerana mendakwa mangsa ada memakinya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mohd Azam berkata, suspek telah menolak pengadu dan berlaku pergelutan sebelum lehernya dikepit, manakala seorang lagi suspek memukul mangsa menggunakan kayu di belakang badan.
"Kita telah menahan dua lelaki warga asing berusia 27 dan 35 tahun di Jalan Avenue 3 di sini pada 1.40 tengah hari, Isnin.
"Kita telah membuat rampasan sebatang buluh bagi membantu siasatan," katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek yang menuduh pengadu memakinya melalui panggilan telefon sebelum penghantaran dibuat.
"Kedua-dua suspek telah ditahan reman selama empat hari bermula Selasa hingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
