465 kes ceroboh tanah milik kerajaan Persekutuan direkod - Johari

JOHARI
JOHARI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 465 kes pencerobohan di atas tanah milik Persekutuan direkodkan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) dari tahun 2015 hingga Mei lalu.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menjalankan tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, jumlah keseluruhan keluasan tanah yang dimiliki oleh Kerajaan Persekutuan di seluruh negara pula ialah 215,406 hektar.

“Bagi melaksanakan tindakan penguatkuasaan ke atas pecerobohan tanah milik Persekutuan, JKPTG akan melaksanakan penyelarasan bersama-sama dengan agensi penguatkuasaan dan kementerian atau Jabatan Pengguna (KJP).

“Dalam hal ini, notis penguatkuasaan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara [Akta 828] akan dikeluarkan kepada penceroboh bagi tujuan pengosongan tapak. Seterusnya, KJP di atas tanah tersebut hendaklah mengambil tindakan mengawal bagi mengelakkan pencerobohan berulang,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) mengenai perincian jumlah tanah milikan Kerajaan Persekutuan yang diceroboh di seluruh negara dan tindakan kepada pihak penceroboh.

Johari menambah, setiap tanah milik persekutuan mempunyai perancangan pembangunan berdasarkan Rancangan Malaysia yang ditetapkan.

Walau bagaimanapun katanya, pembangunan tanah-tanah tersebut ialah berdasarkan keutamaan dan peruntukan yang telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Bagi memastikan tanah milik Kerajaan Persekutuan digunakan secara optimum, JKPTG telah melaksanakan kaedah tukar guna kepada kementerian atau agensi Persekutuan lain yang memerlukan serta pelaksanaan kaedah sewa dan pajakan tanah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!