Pecah masuk kediaman cucu Tun M: Polis dapat bahan bukti baharu

KUALA LUMPUR – Polis memperoleh beberapa bahan bukti bagi membantu siasatan berhubung kes pecah masuk kediaman yang dihuni cucu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Bukit Ledang, di sini yang mengakibatkan kerugian dianggarkan kira-kira RM1.8 juta.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, setakat ini tiga keterangan telah direkodkan termasuk daripada cucu Dr Mahathir sendiri.
Menurutnya, semasa kejadian, rumah berkenaan hanya didiami oleh pembantu rumah dan seorang pengawal keselamatan.
“Rumah itu merupakan rumah lama yang jarang diduduki dan hasil pemeriksaan polis mendapati terdapat kesan pecah di bahagian belakang... ada kesan potong.
“Ada kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman terbabit, malangnya CCTV itu tidak dapat membantu siasatan kerana ia dipercayai dipasang pada hujung tahun 90-an dan hanya mempunyai simpanan memori (stor simpanan) kurang daripada 24 jam.
“Oleh itu, CCTV tersebut tidak dapat digunakan untuk membantu siasatan. Bagaimanapun, kita sedang meneliti rakaman CCTV di kawasan sekitar kejadian kerana kemungkinan insiden berlaku lebih 24 jam sebelum laporan polis dibuat,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Isnin.
Bagaimanapun, Mohamed Usuf berkata, beberapa bahan bukti telah diterima dan sedang dianalisis oleh pasukan forensik bagi membantu siasatan lanjut.
“Ketika ini, polis sedang mengesan cap jari dan bahan bukti lain yang berkaitan.
“Kerugian dianggarkan sebanyak RM1.8 juta membabitkan kebanyakan barang kemas lama milik keluarga. Setakat ini, tiada tangkapan dilakukan,” ujarnya.
Difahamkan, dalam kejadian yang berlaku pada Rabu minggu lalu, insiden disedari oleh pembantu rumah mangsa kira-kira jam 3 petang yang kemudiannya menghubungi cucu Dr Mahathir bagi memaklumkan pintu pagar di bahagian belakang rumah telah dipotong dan bilik mangsa telah dimasuki pencuri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
