Kediaman cucu Tun M dipecah masuk: Tiga individu direkod keterangan

Laporan Sinar Harian pada 26 Julai lalu.
Laporan Sinar Harian pada 26 Julai lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga individu telah dirakam keterangan untuk siasatan lanjut melibatkan kes pecah masuk kediaman yang dihuni cucu kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Bukit Ledang baru-baru ini.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, tiga individu terbabit terdiri daripada pengawal keselamatan dan pembantu rumah.

“Tiga individu tersebut terdiri daripada warga tempatan serta warga asing. Kesemua mereka dirakam keterangan bagi membantu siasatan berkaitan kes ini.

“Setakat ini, tiada tangkapan dilakukan. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya pada Ahad.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa polis masih menjalankan siasatan termasuk mendapatkan laporan forensik berhubung kerugian berjumlah RM1.8 juta yang direkodkan susulan kejadian jenayah berkenaan.

Mohamed Usuf Jan berkata, siasatan polis mendapati terdapat kesan pecah pada kediaman tersebut dan siasatan awal mendapati rumah itu merupakan milik Mirzan Mahathir, namun didiami oleh anaknya, iaitu cucu kepada Dr Mahathir.

Kerugian yang dianggarkan berjumlah RM1.8 juta itu lebih berbentuk kepada barang kemas lama, dipercayai milik peribadi dan lain-lain barangan.

Difahamkan, kejadian yang berlaku pada Rabu itu disedari oleh pembantu rumah mangsa kira-kira jam 3 petang, yang kemudian menghubunginya bagi memaklumkan bahawa pintu pagar bahagian belakang rumah telah dipotong dan bilik mangsa telah dimasuki pencuri.

Siasatan sedang dijalankan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kediaman berkenaan.

Artikel Berkaitan:

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!