AI cipta peluang baharu, bukan rampas pekerjaan - Steven

GEORGE TOWN – Pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) bukan sahaja berpotensi mengubah landskap pekerjaan sedia ada, malah mampu mencipta pelbagai peluang pekerjaan baharu sekiranya dimanfaatkan secara strategik.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) telah mengambil langkah proaktif dengan menyiapkan satu laporan khas pada hujung tahun lalu bagi meneliti impak AI, pendigitalan dan ekonomi masa hadapan terhadap pasaran kerja negara.
Menurut beliau, laporan tersebut dibangunkan berdasarkan input daripada pemain industri dalam 10 sektor ekonomi utama negara dan menjadi panduan penting kepada kerajaan dalam merangka dasar latihan kemahiran serta tenaga kerja masa depan.
“Kita tidak lagi boleh bergantung kepada andaian. Laporan ini memberikan data yang tepat mengenai perubahan yang bakal berlaku dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang,” katanya ketika merasmikan The 52nd ARTDO International Conference, di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Steven berkata antara dapatan utama laporan itu menunjukkan bahawa beberapa pekerjaan sedia ada berisiko terjejas akibat kemajuan teknologi dan penggunaan AI.
Bagaimanapun, katanya, langkah seperti latihan semula dan peningkatan kemahiran boleh membantu pekerja kekal relevan dan beralih kepada pekerjaan baharu yang wujud hasil perkembangan teknologi.
“Contohnya, pekerjaan seperti jurutera ‘AI prompt’ kini mula mendapat permintaan tinggi.
“AI tetap memerlukan manusia untuk memberi input dan menyemak output. Jadi, peranan manusia masih penting,” ujarnya.
Bagi menyokong keperluan itu, beliau berkata KESUMA telah membangunkan portal MyMahir, yang berperanan memadankan keperluan kemahiran baharu dengan kursus latihan bersesuaian.
Katanya, portal tersebut bukan sahaja membantu pekerja dan pencari kerja, malah turut digunakan oleh pembuat dasar serta syarikat, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dalam merancang keperluan tenaga kerja.
Menurutnya lagi, KESUMA kini menguruskan 33 Institut Latihan Perindustrian (ILP) di bawah sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain bekerjasama dengan institusi latihan lain termasuk pihak swasta.
Beliau turut memaklumkan kerajaan telah memperkenalkan kursus jangka pendek serta program literasi AI asas yang menyasarkan golongan umum seperti suri rumah, bagi memastikan seluruh lapisan masyarakat bersedia menghadapi transformasi teknologi.
“Semasa Minggu Latihan Kebangsaan baru-baru ini, antara 40 hingga 50 peratus daripada kursus yang ditawarkan adalah berkaitan teknologi termasuk AI.
“Ini membuktikan kesediaan kita untuk memperluaskan pengetahuan teknologi kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.
Steven turut menggariskan tiga pendekatan utama kerajaan dalam membina kesiapsiagaan negara terhadap kemajuan AI, iaitu kemahiran tinggi AI, literasi asas AI, dan etika perundangan.
“Kemahiran tinggi AI merangkumi melahirkan tenaga kerja yang mampu mencipta dan mengurus sistem AI, manakala literasi asas AI memberi kefahaman kepada masyarakat terhadap penggunaannya.
“Etika dan perundangan pula merangkumi usaha mewujudkan kerangka undang-undang serta garis panduan agar AI tidak digunakan untuk tujuan yang membahayakan, seperti penyebaran kebencian di media sosial,” katanya.
Tambah beliau, AI bukan sekadar soal teknologi semata-mata, malah turut menyentuh aspek moral dan undang-undang.
“Kita perlu ada garis panduan jelas agar kemajuan ini tidak memberi kesan negatif kepada masyarakat,” tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

