Jawatan tinggi untuk pesara atau beri peluang generasi baharu?

MUKADIMAH
Kebelakangan ini, pelbagai perbincangan timbul dalam kalangan rakyat mengenai isu pelantikan semula individu berjawatan tinggi dalam sektor awam.
Isu ini mengundang pelbagai pandangan terutama melibatkan kepimpinan badan penguatkuasaan atau agensi penting negara.
Bagi sesetengah pihak, pelantikan semula dianggap langkah mengekalkan kesinambungan pentadbiran dan memastikan kelangsungan dasar sedia ada.
Namun, tidak kurang juga berpendapat peluang sepatutnya diberikan kepada individu baharu berpotensi membawa pembaharuan serta idea segar.
Perkara ini kembali menjadi perhatian apabila Tan Sri Azam Baki dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berkuat kuasa pada 13 Mei 2025.
Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berpandangan, pelantikan semula ke jawatan berprofil tinggi seperti itu boleh menyukarkan pelaksanaan reformasi institusi secara menyeluruh.
Beliau turut mengkritik pelantikan semula buat kali ketiga itu sebagai keputusan yang ‘tidak dialu-alukan’.
SOKONG
Penting untuk imbangi struktur
Saya berpendapat bahawa tiada masalah jika pesara ditawarkan semula untuk memegang jawatan tinggi, terutama apabila kepakaran dan pengalaman mereka masih sangat diperlukan.
Dalam keadaan tertentu, seseorang pesara boleh membantu mengimbangi struktur organisasi dan memberi panduan penting kepada pegawai yang masih baharu atau kurang berpengalaman.
Mereka yang sudah lama berkhidmat selalunya memahami selok-belok sistem dan mampu membantu memastikan kelangsungan serta kestabilan pentadbiran sesebuah agensi.
Bagi saya, apa yang penting ialah kebijaksanaan kerajaan dalam menilai keperluan tersebut secara telus dan berdasarkan keadaan sebenar agensi berkenaan.
Jika pelantikan semula dibuat secara berhikmah, saya percaya ia mampu memberi manfaat besar tanpa menjejaskan laluan kerjaya penjawat muda.
Kerajaan hanya perlu memastikan keseimbangan dikekalkan, supaya peluang membina kerjaya dalam kalangan pegawai baharu juga terus terbuka sambil memanfaatkan kekuatan pengalaman pesara.
- Kakitangan kerajaan, Muhammad Iqbal Harraz Mohd Yaakub, 27
Pesara lebih faham tentang organisasi, dasar
Saya bersetuju sekiranya pelantikan semula pesara ke jawatan tinggi sektor awam dilakukan kerana kebiasaannya, mereka memiliki kefahaman mendalam tentang sistem organisasi, dasar sedia ada dan rangka kerja pentadbiran.
Kefahaman ini akan mempercepatkan proses pembuatan keputusan, kerana mereka sudah tidak perlu lagi melalui proses pembelajaran semula atau berhadapan dengan kesilapan yang boleh dielakkan.
Dengan pengalaman atau pengetahuan yang dimiliki, pesara dapat mempertingkatkan keberkesanan operasi dan menjadikan perkhidmatan awam lebih efisien serta mantap.
Selain itu, saya juga yakin mereka dapat membantu mengimbangi konflik dalaman sesebuah organisasi.
Pengalaman yang dimiliki oleh pesara dapat memberi mereka kebijaksanaan untuk meredakan ketegangan atau perbezaan pendapat antara pihak terlibat, sekali gus menjaga keharmonian dalam organisasi.
Kehadiran tokoh berpengalaman seperti ini juga dapat memudahkan pengurusan perbezaan dan membantu memupuk kerjasama lebih baik antara kakitangan yang berlainan latar belakang.
- Kakitangan kerajaan, Nurul Adila Nabila Mohd Zaini, 26
BANGKANG
Menyekat peluang kenaikan generasi baharu
Saya berpendapat pesara tidak wajar dilantik semula ke jawatan tinggi secara automatik kerana menyekat peluang kenaikan generasi baharu yang telah lama berkhidmat.
Kita perlu melihat isu ini dengan lebih luas, jika semua jawatan tinggi terus diisi pesara, pegawai muda mungkin hilang semangat untuk terus berkhidmat.
Lama-kelamaan, mereka akan mencari peluang di luar kerana merasakan masa depan sektor awam agak terbatas, apatah lagi dalam suasana zaman yang menuntut pendekatan lebih segar dan progresif.
Generasi muda lebih cepat menyesuaikan diri dengan teknologi dan memahami kehendak rakyat masa kini, menjadikan mereka lebih sesuai untuk membawa pembaharuan dalam pentadbiran.
Selain itu, budaya melantik semula pesara boleh menjejaskan proses reformasi yang sedang diusahakan pelbagai pihak kerana kepimpinan lama mungkin membawa semula pendekatan yang tidak lagi relevan, sekali gus memperlahankan kemajuan institusi.
Saya percaya, jika pesara masih ingin menyumbang, peranan sebagai penasihat atau mentor sudah memadai, bukan rebut balik kerusi kuasa.
Memberi ruang kepada pemimpin muda bukan bermaksud menolak sumbangan terdahulu, sebaliknya satu usaha membina masa depan progresif.
- Presiden Pertubuhan Perdana Nasional (PPN), Abdul Hakim Hafizi Hamizan, 26
Jejas idea baharu dan timbul konflik pilih kasih
Sudah tentu saya tidak bersetuju dengan pelantikan semula pesara ke jawatan tinggi dalam sektor awam kerana boleh menjejaskan aliran idea baharu yang sangat diperlukan oleh setiap agensi.
Pendekatan dan pemikiran dikendalikan generasi lama mungkin kurang sesuai dengan kehendak serta cabaran semasa, yang memerlukan pemimpin lebih memahami perkembangan teknologi serta perubahan sosial.
Jika pesara dilantik semula, mereka berisiko menggunakan pendekatan tradisional yang tidak lagi seefektif dahulu, menyebabkan institusi terbantut dalam menghadapi kemajuan dunia luar.
Bukan itu sahaja, saya juga berpandangan, pelantikan semula pesara juga berpotensi menimbulkan konflik kepentingan dan persepsi negatif, seperti tanggapan pilih kasih atau amalan 'orang dalam', yang merosakkan integriti agensi tersebut.
Bagi memastikan keberkesanan dan kelangsungan sektor awam, peluang untuk generasi muda memimpin perlu diberi, agar mereka dapat membawa perubahan yang lebih segar serta relevan.
Saya percaya bahawa pesara boleh menyumbang sebagai penasihat atau mentor, namun tidak perlu memegang kuasa, agar generasi pelapis diberikan ruang untuk berkembang dan memimpin.
- Pegawai bank, Auni Zafirah Mansor, 25
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!