[VIDEO] PBT tidak pernah benar warga asing mohon, miliki lesen perniagaan - Kor Ming

A
A
A

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak pernah membenarkan mana-mana warga asing untuk memohon atau memiliki lesen termasuk lesen penjaja, peniaga kecil, premis perniagaan, kedai runcit dan kedai makan di negara ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, tindakan tersebut selaras dengan dasar dan peraturan sedia ada iaitu Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja serta UUK Tred, Perniagaan dan Perindustrian.

“Di bawah UUK Penjaja, PBT tidak mengiktiraf dan tidak membenarkan warga asing sebagai penjaja atau peniaga kecil. Malahan, PBT juga tidak membenarkan penggunaan warga asing sebagai pekerja atau pembantu di bawah lesen penjaja di premis PBT.

“Ini kerana kerajaan amat prihatin untuk membantu rakyat melalui peluang perniagaan dan memastikan kelangsungan peniaga-peniaga ini dengan mengenakan kadar sewaan premis di bawah harga pasaran.

“Justeru, sudah semestinya kemudahan ini tidak boleh disalah guna untuk manfaat warga asing. Tidak sekali-kali kerajaan membenarkan situasi di mana kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

KOR MING
KOR MING

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Mohd Hasnizan Harun (PN–Hulu Selangor) mengenai dasar semasa kementeriannya berhubung kebebasan warga asing membuka perniagaan di Malaysia, khususnya dalam sektor peruncitan serta tindakan terhadap premis yang didaftarkan atas nama warganegara tetapi dikendalikan sepenuhnya oleh warga asing termasuk kes melibatkan penggunaan nama isteri warganegara.

Mengulas lanjut, Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memandang serius isu kemudahan yang disediakan oleh kerajaan untuk manfaat warga tempatan sebagai inisiatif pemerkasaan ekonomi rakyat, namun telah diragut oleh warga asing melalui pelbagai tipu helah.

Artikel Berkaitan:

Di Malaysia, katanya, syarikat asing hanya dibenarkan untuk membuka perniagaan peruncitan berskala besar dalam bentuk syarikat sendirian berhad, perkongsian atau sebagai rakan francais.

Beliau menambah, sebanyak 3,703 operasi penguatkuasaan terhadap premis perniagaan yang melibatkan warga asing telah dilaksanakan bagi tempoh 2023 hingga kini.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 14,834 kompaun dikeluarkan, 23 lesen dibatalkan dan 2,880 premis perniagaan disita atas pelbagai kesalahan pelanggaran syarat yang ditetapkan oleh PBT, termasuk kesalahan peniaga tempatan yang memindah milik lesen atau permit mereka kepada warga asing secara haram,” katanya.

Selain itu, Kor Ming turut menegaskan bahawa KPKT dan PBT sentiasa terbuka untuk bekerjasama secara konstruktif dengan agensi lain dalam menyokong usaha penguatkuasaan.

Ujarnya, kerjasama bersepadu yang melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ini penting memandangkan bidang kuasa PBT hanya terhad kepada pemeriksaan lesen premis dan perniagaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!