Kor Ming kesal peserta Himpunan Turun Anwar buang sampah merata-rata

SHAH ALAM - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyelar perbuatan peserta Himpunan Turun Anwar yang membuang sampah merata-rata hingga menyusahkan petugas kebersihan.
Menerusi hantaran di platform X, Ahli Parlimen Teluk Intan itu menegaskan, akibat perbuatan tidak bertanggungjawab penyokong pembangkang tersebut, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) terpaksa bertungkus-lumus membersihan kotoran yang ditinggalkan.
"Selaku Menteri yang menjaga agensi pembersihan awam, saya berasa amat kesal dengan kelakuan Perikatan Nasional (PN) yang kotor dan membuang sampah di merata tempat.
"Kerajaan Madani meraikan demokrasi dan tiada halangan dengan perhimpunan aman tapi tolonglah jaga kebersihan. Jangan memalukan negara. Faham!," katanya pada Sabtu.
Beliau menambah, sikap pengotor yang dilakukan pihak terlibat itu jelas sangat memalukan.
Difahamkan, sebanyak 15 tan metrik atau 15,000 kilogram (kg) sampah yang ditinggalkan peserta himpunan berkenaan.
Himpunan Turun Anwar anjuran pembangkang itu dilapor menyasarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya meletakkan jawatan.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail dalam satu kenyataan berkata, himpunan yang berlangsung di sekitar ibu negara tersebut berjalan dalam keadaan aman dan terkawal, tanpa sebarang insiden yang mengganggu ketenteraman awam.
Beliau berkata, berdasarkan pemantauan, jumlah kehadiran peserta dianggarkan sekitar 18,000 orang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


