Malaysia di tangga ke-19 ancaman siber global

SHAH ALAM – Malaysia berada di kedudukan ke-19 dalam senarai negara paling banyak merekodkan pengesanan ancaman serangan siber berdasarkan paparan peta ancaman siber langsung (Cyberthreat Live Map) kendalian syarikat keselamatan siber global, Kaspersky.
Berdasarkan statistik yang dipaparkan menerusi platform berkenaan, Malaysia merekodkan puluhan ribu pengesanan ancaman melibatkan pelbagai kategori.
Antara kategori tertinggi ialah On-Demand Scan (ODS) dengan 55,210 pengesanan, diikuti On-Access Scan (OAS) sebanyak 32,428 dan Web Anti-Virus (WAV) sebanyak 20,660.
Selain itu, sebanyak 12,617 pengesanan direkodkan menerusi kategori Mail Anti-Virus (MAV), manakala Kaspersky Anti-Spam (KAS) mencatatkan 952 pengesanan.
Kategori Intrusion Detection System (IDS) pula merekodkan 739 pengesanan, diikuti Vulnerability Scan (VUL) sebanyak 46 dan Ransomware (RMW) dengan 35 pengesanan.
Pengesanan berkenaan melibatkan pelbagai bentuk ancaman digital termasuk perisian hasad, cubaan pencerobohan rangkaian, ancaman melalui laman web serta serangan menggunakan perisian tebusan.
Sementara itu, Rusia menduduki tangga pertama sebagai negara paling banyak dikesan ancaman siber dengan 4.12 juta pengesanan menerusi kategori ODS dan 3.29 juta bagi OAS.
Brazil pula berada di kedudukan kedua dengan 398,809 pengesanan OAS, diikuti 258,845 menerusi ODS dan 135,401 bagi WAV.
Negara itu turut merekodkan 39,429 pengesanan KAS, 33,598 menerusi IDS serta 12,506 bagi MAV.

Dalam perkembangan sama, paparan peta ancaman langsung FortiGuard Labs setakat jam 11.15 pagi turut menunjukkan aktiviti serangan siber yang menyasarkan beberapa lokasi di Malaysia termasuk Kuala Lumpur, Shah Alam, Petaling Jaya dan Pulau Pinang.
Berdasarkan paparan pada 8 November, platform itu merekodkan 22 serangan sesaat, manakala sebanyak 1.9 juta serangan disekat dalam tempoh 24 jam dengan 140 aktiviti ancaman aktif dikesan.
Antara industri paling menjadi sasaran di Malaysia ialah telekomunikasi, perbankan, kewangan dan insurans, teknologi, pendidikan serta pengangkutan dan logistik.
Sementara itu, paparan Live Threat Map kendalian Radware turut menunjukkan Amerika Syarikat mendominasi senarai sumber serangan siber dengan 75 peratus, diikuti United Kingdom (sembilan peratus), Jerman (lapan peratus), Belanda dan Perancis masing-masing empat peratus.
Berdasarkan pemantauan dalam tempoh satu jam pada paparan berkenaan, Amerika Syarikat turut menjadi negara paling banyak disasarkan dengan 40 peratus, diikuti India, Australia dan Kanada masing-masing 16 peratus serta Jepun (12 peratus).
Selain itu, peta ancaman siber langsung kendalian Check Point turut memaparkan aktiviti serangan siber global dengan jumlah mencecah 1.59 juta serangan pada hari paparan berkenaan.
Platform itu turut menunjukkan trend ancaman terhadap Malaysia dalam tempoh 30 hari menerusi paparan grafik yang merekodkan turun naik aktiviti serangan.
Beberapa negara seperti Ethiopia, Uzbekistan, Nigeria, Mongolia dan Indonesia disenaraikan antara negara paling menjadi sasaran berdasarkan kadar serangan terhadap organisasi dalam tempoh 24 jam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

