Pegawai bank rugi lebih RM240,000 ditipu pembelian pacuan empat roda dalam talian

Mangsa membuat 40 kali transaksi pembayaran ke dalam 18 akaun bank berbeza.
Mangsa membuat 40 kali transaksi pembayaran ke dalam 18 akaun bank berbeza.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Hasrat seorang pegawai bank untuk memiliki kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux tidak kesampaian apabila menjadi mangsa penipuan pembelian kenderaan dalam talian sehingga kerugian RM241,700.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa lelaki berusia 52 tahun itu dikatakan tertarik dengan iklan jualan kenderaan jenis Toyota Hilux 2.4 Auto terpakai tahun 2017 yang dipasarkan melalui Facebook pada 4 Julai lalu.

Menurutnya, mangsa kemudian menghubungi individu tersebut menerusi aplikasi WhatsApp bagi urusan pembelian kenderaan tersebut dengan sebuah syarikat yang dikatakan beroperasi di Pelabuhan Barat, Port Klang, Selangor.

"Bermula 9 hingga 21 Julai lalu, mangsa membuat 40 kali transaksi pembayaran ke dalam 18 akaun bank berbeza berjumlah keseluruhan RM241,700.

"Mangsa menggunakan wang simpanan dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya bagi tujuan pembelian itu," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambah Azli, mangsa mula curiga apabila suspek meminta bayaran tambahan sebanyak RM31,000 untuk urusan 'cap jari kastam' dan mula menyedari telah ditipu kerana tidak menerima sebarang kenderaan seperti dijanjikan.

"Mangsa kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu jam jam 9.37 pagi pada Ahad," katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, katanya pihak polis menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran kenderaan atau barangan di media sosial yang kelihatan terlalu murah dan tidak masuk akal.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!