Pemandu maut, dua pekerja cedera pacuan empat roda terbalik

KUANTAN – Seorang pemandu warga Indonesia maut, manakala dua lagi cedera selepas kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di laluan pembalakan Jalan Sungai Lembing, Hutan Simpan Remen Cheres, di sini pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa dikenali sebagai Andreas Mara Kelen, 57, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Sungai Lembing akibat kecederaan parah di muka.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintenden Mohd Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati pacuan empat roda dipandu mangsa bersama dua rakan setugasnya dalam perjalanan turun dari kawasan pembalakan menuju ke Sungai Lembing.
“Ketika melalui laluan berbukit dan berselekoh di jalan tanah merah yang sempit, kenderaan itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik beberapa kali.
“Akibat kejadian tersebut, ketiga-tiga mangsa tercampak keluar daripada kenderaan dan mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, dua lagi mangsa yang cedera ialah Herman Mohamad Yunus, 54, warga Indonesia, yang mengalami patah kaki kiri, manakala Sot Kimhong, 45, warga Myanmar, cedera di bahagian kaki.
Menurutnya, kedua-dua mangsa kini menerima rawatan lanjut di sebuah pusat perubatan swasta di daerah ini.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian akibat kecuaian.
“Siasatan masih diteruskan termasuk siasatan di lokasi kejadian dan pemeriksaan ke atas kenderaan yang terlibat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pihak yang menggunakan laluan pembalakan supaya sentiasa berhati-hati, selain memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan, terutama di kawasan berbukit dan berisiko tinggi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

