Covid-19: Jackie Wong atlet Malaysia pertama dijangkiti

Jackie Wong Siew Cheer
Jackie Wong Siew Cheer
A
A
A

KUALA LUMPUR- Jaguh baling tukul besi lelaki negara, Jackie Wong Siew Cheer menjadi atlet Malaysia pertama dijangkiti koronavirus (Covid-19), demikian menurut Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Presiden KOM, Datuk SM Muthu memaklumkan pemegang rekod kebangsaan itu disahkan dijangkiti virus berkenaan menerusi keputusan ujian yang dikeluarkan oleh Hospital Sibu, Sarawak pada awal pagi ini.

Beliau mendedahkan, Wong disyaki dijangkiti virus berkenaan ketika melawat bapanya yang merupakan Ahli Parlimen Sarikei, Andrew Wong Ling Biu yang sedang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan sebagai pesakit dalam siasatan (PUI) bagi Covid-19, baru-baru ini.

Susulan perkembangan terbaharu itu, Muthu menjelaskan, KOM mengambil keputusan untuk memberhentikan serta merta latihan atlet kebangsaan, selain membatalkan beberapa kejohanan dalam tempoh terdekat bagi mengurangkan risiko penyebaran virus berkenaan, katanya pada sidang media khas di pejabat KOM, di sini, hari ini.

"Tindakan ini akan terus diamalkan sehingga kita menerima arahan selanjutnya daripada Kementerian Kesihatan, Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara.

"KOM memandang serius berhubung perkara ini bagi memastikan kesihatan atlet kita terkawal dan mereka tidak dijangkiti wabak ini,” kata Muthu.

Beliau menegaskan kesemua atlet dan jurulatih olahraga negara diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari di rumah bagi mengurangkan risiko penyebaran Covid-19.

Dalam pada itu, SM Muthu memaklumkan badan induk itu tidak berhasrat memanggil dua atlet lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa dan Lee Hup Wei yang kini sedang menjalani latihan di Brisbane, Australia, untuk kembali ke tanah air dalam tempoh terdekat.

Artikel Berkaitan:

Beliau menjelaskan, KOM masih berharap sekurang-kurangnya seorang atlet negara akan layak secara merit ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 memandangkan tempoh kelayakan ke temasya sukan berkenaan hanya akan berakhir pada Jun nanti.

"Sekiranya tiada, kita akan menyenaraikan seorang atlet yang kita fikirkan layak untuk mengisi satu slot wildcard ke Sukan Olimpik Tokyo,” jelas Muthu.-Bernama