Suara rakyat bukan alat penuhi nafsu politik - Shamsul Iskandar

SHAH ALAM - Suara rakyat tidak sepatutnya dijadikan alat untuk memenuhi cita-cita politik pihak tertentu, tegas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menghormati hak rakyat untuk bersuara dan berhimpun sebagaimana dijamin dalam perlembagaan, dengan memastikan tiada tindakan keras diambil, tiada gas pemedih mata dilepaskan dan tiada pentas dihancurkan.
Namun, menurutnya, terdapat perbezaan besar antara suara rakyat dengan agenda politik pihak tertentu yang cuba mengheret rakyat untuk mengabsahkan nafsu kuasa pihak berkenaan.
"Kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berdiri atas mandat pilihan raya. Jika Tan Sri Muhyiddin dan gabungannya yakin suara rakyat sudah berubah, gelanggangnya jelas iaitu pilihan raya.
"Bukan melalui pentas jalanan, bukan melalui angka yang dibesar-besarkan dan bukan dengan memanipulasi isu kaum dan agama untuk menghasut emosi," katanya.
Shamsul menjelaskan, Kerajaan Madani akan terus mendengar suara rakyat daripada pelbagai lapisan termasuk nelayan, petani, pekerja kilang, peniaga kecil dan anak muda — bukan hanya suara mikrofon politik di atas pentas himpunan.
"Rakyat berhak berhimpun. Tetapi suara rakyat jangan diperalat. Demokrasi jangan disandera demi dendam dan kuasa," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengingatkan Anwar bahawa suatu ketika dahulu beliau pernah menyatakan bahawa suara rakyat adalah ‘suara keramat’ yang didengar.
Muhyiddin meminta Anwar akur akan kehendak rakyat yang mahukan beliau berundur, susulan himpunan 'Turun Anwar' yang berlangsung di ibu negara pada Sabtu.
Pengerusi Urimai, P Ramasamy pula dalam satu kenyataan menyifatkan himpunan 'Turun Anwar' sebagai 'satu kejayaan besar' dan mendakwa ia 'umpama lautan manusia'.
Sehubungan itu, Shamsul Iskandar mengingatkan bahawa rakyat harus menilai keikhlasan perjuangan politik dengan melihat kepada rekod lampau, bukan hanya kepada naratif yang dibentuk hari ini.
Katanya, pemimpin yang benar-benar mahu memperjuangkan suara rakyat tidak hanya bersuara ketika berada di luar kuasa, tetapi turut membuka ruang semasa memegang tampuk pemerintahan.
"Kini Muhyiddin menyerang Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar, tetapi ketika beliau menjadi Perdana Menteri, mengapa beliau sendiri gagal membina kerajaan yang inklusif dan stabil?
"Sebaliknya, Malaysia ketika itu disajikan dengan drama keluar-masuk sokongan, tukar ganti menteri dan akhirnya beliau tumbang kerana hilang majoriti," dakwanya.
Memberi contoh Perjanjian Hudaibiyah, beliau berkata, sejarah Islam mengajar hakikat penting bahawa pemimpin perlu membuat keputusan berasaskan hikmah, bukan tunduk kepada desakan jalanan atau suara yang dibesarkan secara emosional.
"Apa yang nampak tidak popular hari ini, jika dibuat dengan niat dan strategi yang betul, akan membawa kebaikan besar pada masa depan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
