Kereta dipandu wanita 'ditelan' lubang benam

Seorang wanita diselamatkan selepas kereta yang dipandunya terjatuh ke dalam lubang benam yang terbentuk sekitar jam 5 petang Sabtu.
Seorang wanita diselamatkan selepas kereta yang dipandunya terjatuh ke dalam lubang benam yang terbentuk sekitar jam 5 petang Sabtu.
A
A
A

SINGAPURA - Pengguna jalan raya di Singapura pada Sabtu dikejutkan dengan kejadian tanah jerlus yang mengakibatkan terbentuknya sebuah lubang besar.

Portal berita Channel NewsAsia melaporkan, insiden yang berlaku sekitar jam 5 petang di Tanjong Katong Road itu menyebabkan sebuah kenderaan terjerumus ke dalam lubang yang dipenuhi air.

Pihak Lembaga Perbekalan Awam (PUB) republik itu berkata, lubang benam itu terjadi bertentangan dengan sebuah tapak projek pembinaan, di persimpangan Tanjong Katong Road South dan Mountbatten Road.

“Sebuah kenderaan terperangkap di dalam lubang benam tersebut. Pasukan Pertahanan Awam telah menyelamatkan seorang pemandu wanita dan mangsa telah digegaskan ke Hospital Raffles.

"Trafik di kedua-dua arah jalan raya itu terjejas dan ditutup. Pengguna jalan raya dinasihat supaya mengelakkan kawasan berkenaan dan menggunakan laluan alternatif. Dua paip air utama turut terjejas dalam kejadian itu,” menurut satu kenyataan daripada PUB.

Beberapa gambar dan petikan video turut membanjiri laman media sosial republik itu, yang antara lain menunjukkan sebuah kenderaan yang hampir keseluruhannya tenggelam di dalam air, serta struktur jalan raya yang runtuh.

Visual juga menunjukkan kawasan berkenaan ditutup dengan kon penghadang, sementara aliran trafik yang sesak di arah jalan yang bertentangan.

Ahli Parlimen Marine Parade-Braddell Heights Goh Pei Ming, menerusi akaun Facebook rasminya memberitahu, Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) dan PUB sedang menjalankan siasatan.

Kejadian tanah jerlus atau lubang benam pernah menggemparkan beberapa kota besar di Asia, antaranya di Filipina dan Thailand pada tahun 2016; di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada Ogos 2024; dan di Seoul, Korea Selatan pada Mac 2025.

Artikel Berkaitan:

Antara punca kejadian seumpamanya adalah faktor-faktor seperti keadaan geologi, infrastruktur bawah tanah, hujan lebat dan hakisan, serta aktiviti pembangunan. - Awani

Pihak berkuasa sahkan bangunan berhampiran tidak terjejas

Penguasa Bangunan dan Binaan Singapura (BCA) mengesahkan bahawa bangunan berhampiran lokasi lubang benam di Jalan Tanjong Katong tidak terjejas akibat kejadian itu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, BCA memaklumkan bahawa kerja-kerja penstabilan dimulakan sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan bangunan sekitar serta tapak kerja agensi air negara, PUB, yang terletak bersebelahan kawasan kejadian.

"Jurutera BCA telah menjalankan pemeriksaan awal ke atas kondominium One Amber serta rumah-rumah teres di seberang jalan.

"Penilaian mendapati struktur bangunan-bangunan berkenaan tidak terjejas," menurut kenyataan di laman Facebook BCA malam Sabtu.

Kenyataan itu turut memaklumkan BCA bersama-sama Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan PUB sedang memantau rapi kerja-kerja pembaikan serta tahap keselamatan keseluruhan di kawasan itu.

Menteri Kemampanan dan Persekitaran Grace Fu turut memaklumkan bahawa beliau mengarahkan pihak berkuasa berkaitan menyiasat punca kejadian.

"Saya memahami kegusaran orang ramai, terutamanya penduduk dan para pekerja di kawasan sekitar berhubung tahap keselamatan bangunan dan jalan selepas insiden ini.

"Saya telah meminta PUB untuk bekerjasama dengan agensi lain termasuk BCA dan LTA bagi menyiasat punca kejadian secara menyeluruh serta melaksanakan kerja-kerja pembaikan secepat mungkin," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam kejadian itu, seorang wanita diselamatkan dan dihantar ke hospital selepas kereta yang dipandunya terjatuh ke dalam lubang benam yang terbentuk sekitar 5 petang Sabtu.

Sebuah video yang tular di media sosial menunjukkan pekerja dari tapak projek berhampiran membantu wanita berkenaan keluar dari kereta serta menghalang kenderaan lain daripada menghampiri kawasan terbabit. - Bernama

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!