[VIDEO] Lori muatan batu masih dipandu di jalan raya walau tayar pecah, botak
MELAKA - Tindakan sebuah lori membawa muatan 18 tan batu yang dipandu dalam keadaan berisiko dengan tayar pecah dan botak berjaya dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka pada 27 Mac lalu.
Timbalan Pengarah JPJ negeri, Khairul Aswad Abdul Halim berkata, berdasarkan siasatan, pihaknya mendapati lori terbabit dipercayai dipandu menggunakan tayar pecah dan botak sejauh 40 kilometer untuk menghantar muatan batu ke sebuah tapak binaan di Jasin.

"Lori yang dipandu lelaki berusia 40-an itu ditahan di Jasin ketika penguat kuasa sedang membuat rondaan sempena Ops Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025 yang bermula 24 Mac lalu.
"Jadi kita telah menahan pemandu terbabit dan akan mengambil tindakan terhadap individu itu serta pihak syarikat selain kenderaan berat itu telah dibawa ke Pejabat JPJ negeri untuk tindakan lanjut," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang akhbar selepas mengetuai operasi bersepadu selepas tamat Ops HRA 2025 yang berakhir pada Rabu di Lebuh Alor Gajah- Melaka- Jasin (AMJ) di Bukit Piatu, di sini pada malam Selasa.
Jelas Khairul Aswad, kesalahan itu antara 2,380 notis daripada 1,720 tindakan yang dikenakan dalam pemeriksaan terhadap 20,797 kenderaan sepanjang ops berlangsung di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

Ujarnya, daripada jumlah itu 518 adalah kenderaan perdagangan termasuk bas ekspres dan sebanyak 273 saman dikeluarkan terhadap pemandu dan pemilik kenderaan atas pelbagai kesalahan jalan raya.
Katanya, dalam tempoh itu juga pihaknya turut menerima sebanyak 183 aduan menerusi aplikasi MyJPJ dan paling tinggi 77 aduan memandu di lorong kecemasan, 36 aduan memotong barisan, 34 aduan tidak patuh syarat lalu lintas dan lain-lain kesalahan.
"Aduan memandu di lorong kecemasan paling banyak diterima berlaku di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Pulau Gadong, Jalan Tun Razak di Ayer Keroh dan Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput- Ayer Keroh (SPA) di Krubong," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

