KKR tubuh Lembaga Tatatertib, siasat pegawai hadapi pertuduhan rasuah

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Lembaga Tatatertib Kementerian Kerja Raya (KKR) akan bersidang bagi memastikan prosiding perundangan dapat dijalankan tanpa gangguan dan selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
KKR dalam satu kenyataan berkata, langkah segera itu diambil susulan seorang kakitangannya berdepan pertuduhan di bawah Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 25 Julai lalu.
Menurut kenyataan itu, KKR tidak akan berkompromi dengan sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan imej perkhidmatan awam dan organisasi.
“Manakala dari aspek kawalan dalaman, KKR sentiasa melaksanakan program kesedaran, pendidikan dan intervensi bagi tujuan mencegah perlakuan sedemikian.
“KKR komited untuk mewujudkan persekitaran kerja yang selamat, profesional, kondusif dan bebas daripada sebarang bentuk gangguan,” katanya pada Ahad.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri dituduh di mahkamah kerana dipercayai melakukan rasuah membabitkan kontrak bernilai ratusan ribu ringgit.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, pengarah itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dengan lima pertuduhan.
Katanya, dalam kes itu, pengarah berkenaan dan beberapa pegawainya disyaki menerima wang rasuah daripada kontraktor berhubung dengan projek penyelenggaraan.
Tambah kenyataan tersebut, pihaknya mengambil maklum mengenai pertuduhan terhadap seorang penjawat awam yang sedang berkhidmat di KKR.
“Oleh itu, sebagai menghormati proses mahkamah yang sedang berjalan dan demi menjaga hak semua pihak yang terlibat, KKR tidak akan mengulas lebih lanjut mengenai kes ini sehingga keputusan perundangan dimuktamadkan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

