Pengunjung cilik luah emosi melalui doodle

SHAH ALAM - Orang ramai termasuk si cilik seawal usia dua tahun tidak melepaskan peluang mencurahkan perasaan dan ekspresi kreatif mereka menerusi seni coret (doodle) dalam Program Doodle & Dream sempena Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 pada Ahad.
Pengunjung diberi kebebasan penuh untuk mencoret di atas kertas lukisan mengikut kreativiti masing-masing tanpa diberi sebarang tunjuk ajar.
Karyawan seni doodle, Amir Sabri berkata, program bersamanya itu menyaksikan pelbagai ekspresi diluahkan pengunjung dan memberi pendedahan mengenai kelebihan seni conteng yang masih belum diketahui ramai.

“Kita tak ambil kira cantik ataupun tidak doodle yang dilakar mereka, tetapi kita nak mereka cuba seni ini dan rasa manfaatnya. Doodle ini sangat bebas, ia tidak ada teknik-teknik khusus, cuma coret ikut perasaan.
“Sebab itu kanak-kanak seawal usia dua tahun turut ambil bahagian dalam program ini dan apa yang lebih istimewa, perbuatan mencoret ini secara tidak sedar boleh menggerakkan otak (berfikir). Jadi, kalau ada perspektif bahawa aktiviti ini hanya buang masa, ia sebenarnya tidak benar,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Zon Buku & Kopi.
Amir yang mula terlibat dalam seni doodle sejak tahun 2011 berkata, seni tersebut turut membantu menajamkan ingatan seseorang apabila menterjemahkan perasaan dalam medium contengan.
“Konsep doodle ini, kita terjemahkan perkataan menjadi contengan yang kita faham. Hatta kita conteng dalam bentuk orang lidi pun, asalkan kita faham dan ia tak perlu cantik pun. Pada masa sama, seni doodle ini turut menjadi medium menyampaikan mesej.
“Macam orang zaman dahulu yang menconteng di dinding-dinding gua, kita dapat tahu mereka cari makan dengan cara berburu melalui contengan itu yang difahami hingga sekarang,” ujarnya yang juga penulis dan pelukis buku kanak-kanak Siri Detektif Amir terbitan Karangkraf.
Katanya, penyertaan pengunjung amat menggalakkan kerana setiap sesi coretan disertai sekurang-kurangnya 30 peserta dan ia berlanjutan ke beberapa sesi dalam tempoh dua jam, selain ada ibu bapa yang mahu membeli buku turut meninggalkan anak-anak mereka untuk menyertai program terbabit.
Sementara itu, pengunjung dari Puchong, Mohd Khuzaini Darlis, 35, mengakui teruja melihat dua anaknya yang berusia lapan dan lima tahun meluahkan perasaan di atas kertas lukisan.

“Mereka memang ekspresikan apa yang mereka rasa di atas kertas tanpa saya atau penganjur ajar. Jadi memang seni doodle ini boleh bantu kembangkan lagi kreativiti anak-anak sejak mereka kecil.
“Oleh itu, saya harap slot seni doodle ini akan terus dianjurkan dalam program karnival sebegini kerana banyak impak baiknya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


