Harga RON95 bakal turun, KPDN sedia hadapi penyeludup lebih agresif

Gambar kecil: Azman. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
Gambar kecil: Azman. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mempertingkat kawalan di kawasan sempadan negeri ini sebagai langkah awal menghadapi kemungkinan peningkatan aktiviti penyeludupan petrol RON95 apabila harga bahan api itu diturunkan selepas penyasaran subsidi menjelang akhir September ini. 

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, walaupun pemantauan sedia ada dilaksanakan secara ketat dan berterusan, situasi dijangka lebih mencabar susulan margin keuntungan yang lebih besar kepada penyeludup sebaik harga diturunkan daripada RM2.05 seliter kepada RM1.99.

“Kami jangka penyeludup akan lebih agresif, jadi kami bersedia lebih awal. 

“Pemantauan statik akan diperhebat di tiga Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan utama iaitu di Bukit Bunga, Tanah Merah, Rantau Panjang, Pasir Mas dan Pengkalan Kubor, Tumpat,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perasmian Kejohanan Badminton bersama Agensi sempena Sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN ke-53 peringkat negeri Kelantan di Kompleks Belia dan Sukan Panji di sini pada Jumaat. 

Kejohanan dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Pencegahan) KPDN, Aris Mamat. 

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga RON95 akan diturunkan kepada RM1.99 seliter selepas penyelarasan pelaksanaan subsidi bersasar, sepertimana pendekatan penyasaran subsidi elektrik.

Menurut Azman, KPDN turut menjalankan pemeriksaan berkala dan rondaan di kesemua 250 stesen minyak di seluruh Kelantan, selain menjalin kerjasama erat dengan pelbagai agensi penguat kuasa lain termasuk Polis Diraja Malaysia, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Tentera Darat Malaysia.

“Fokus kami bukan sahaja di sempadan tetapi juga di semua stesen minyak bagi mengelak pembelian luar biasa. 

Artikel Berkaitan:

“Pemantauan dipertingkatkan termasuk bagi penggunaan tangki tambahan atau pengisian berulang-ulang,” katanya. 

Untuk rekod, bermula Januari hingga 25 Julai tahun ini, seramai 141 individu ditahan atas pelbagai kesalahan berkait penyeludupan bahan api di Kelantan melibatkan rampasan 30,037.94 liter petrol bernilai RM 64,092.27 serta 21,973 liter diesel bernilai RM62,966.09. 

Turut dirampas 273 kenderaan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1.84 juta.

 

 

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!