Festival turath gamit minat generasi muda terhadap warisan ilmu Islam

Para peserta FTIS 2025 mendengar syarahan surah Al-Mulk dari Sheikh Dr Mohammad Akram Nadwi pada 15 Julai di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Para peserta FTIS 2025 mendengar syarahan surah Al-Mulk dari Sheikh Dr Mohammad Akram Nadwi pada 15 Julai di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
A
A
A

SHAH ALAM - Festival Turath Islami Selangor (FTIS) 2025 anjuran kerajaan Selangor membuktikan warisan keilmuan Islam terus subur dalam jiwa masyarakat merentas usia, latar belakang dan kaum.

Berlangsung selama sembilan hari di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, festival itu bukan sekadar medan pengajian, tetapi menjadi titik temu antara tradisi dan semangat pembaharuan.

Menjadi mercu tanda dalam usaha memartabatkan warisan ilmu Islam, program tersebut mengangkat peranan ulama, mendekatkan masyarakat kepada kitab muktabar dan memupuk kecintaan anak muda terhadap agama.

Seramai 18 tokoh agama, termasuk lima ulama tersohor, berkongsi ilmu dalam 20 sesi yang menghimpunkan ribuan peserta dari dalam dan luar negara termasuk pelajar pondok dan maahad tahfiz.

Dua karya agung Imam as-Suyuti, iaitu Tafsir al-Jalalain dan Pengantar Ilmu Tafsir, menjadi nadi utama perbahasan ilmu sepanjang festival.

Ilmuwan terkemuka seperti Profesor Emeritus Dr Abdul Fattah Abdul Ghani al-Awari (Mesir), Profesor Dr Idris al-Kharshafi (Maghribi), Dr Mohammad Akram an-Nadwi (India/UK), Dr Majd Makki (Syria/Qatar) dan Dr Adi Hidayat (Indonesia) turut berkongsi ilmu.

Menurut Pengarah Sekretariat FTIS, Al-Mustaqeem M Radhi, sambutan kali ini sangat menggalakkan, dan pihaknya menerima banyak maklum balas positif daripada para peserta.

“Setiap ulama mempunyai keunikan tersendiri. Rata-rata peserta berpuas hati dapat menadah kitab di hadapan ulama besar dari pelbagai negara,” katanya kepada Media Selangor.

Kemuncak festival menyaksikan kira-kira 10,000 hadirin mendengar syarahan perdana oleh Dr Adi Hidayat, pengasas Institut Quantum Akhyar, pada 18 Julai.

Artikel Berkaitan:

FTIS turut diserikan dengan Pameran Al-Wahyu: Funduq yang menyingkap sejarah institusi pondok dan pesantren di Asia Tenggara di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor sejak 5 Julai.

Sebanyak sepuluh manuskrip kitab tulisan tangan berusia lebih 100 tahun dari Pondok Pesantren Langitan, Surabaya, menjadi antara tarikan pengunjung yang berminat menelusuri akar tradisi Nusantara.

Selain itu, Festival Buku Islami turut menampilkan 30 penerbit yang mempersembahkan pelbagai karya ilmiah pada harga istimewa bagi merangsang minat membaca dalam kalangan generasi muda Islam.

Bazaar Turath yang berlangsung sepanjang festival juga memikat pengunjung melalui pelbagai produk warisan Islam, menjadikannya ruang interaksi budaya yang segar dan berinspirasi.

FTIS turut menyelitkan sesi bacaan kitab Dalāʾil al-Khayrāt, bual bicara turath serta dua konsert kerohanian, Darul Ehsan Berselawat dan Alunan Mahabbah yang menggamit ribuan umat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!