PM hargai petugas keselamatan, teguh prinsip kebebasan bersuara

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas keselamatan yang bertugas memastikan kelancaran perhimpunan yang berlangsung di ibu negara pada Sabtu.

Beliau turut mendoakan agar semua individu yang hadir selamat pulang ke destinasi masing-masing.

“Saya rakamkan penghargaan kepada semua petugas pasukan keselamatan dari polis, bomba, pasukan perubatan dan sukarelawan yang telah menunjukkan ketangkasan, disiplin dan dedikasi tinggi dalam menjamin keselamatan, ketenteraman awam serta kelancaran himpunan hari ini.

“Kepada saudara-saudari yang hadir sama ada untuk menyuarakan pandangan, menyatakan solidariti atau datang dari jauh, saya ucapkan selamat berpulang. Semoga perjalanan kalian dipermudah dan dilindungi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Anwar menegaskan bahawa beliau kekal dan konsisten berpegang kepada prinsip demokrasi, khususnya dalam menjamin hak kebebasan bersuara dan menyampaikan kritikan.

“Kritikan dan perbezaan pandangan tidak seharusnya dilihat melalui lensa permusuhan. Ia wajar terus berkembang sebagai nadi negara bangsa yang matang, progresif dan berdaulat.

“Apa yang penting, ia harus dilakukan secara tertib, aman dan dalam semangat cintakan tanah air,” ujarnya.

Menurutnya, semangat itu turut diterapkan dalam Sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Parlimen yang memberi ruang kepada ahli Parlimen mengemukakan sebarang soalan secara terus kepada beliau.

“Mohon kalian terus mendesak ahli-ahli Parlimen untuk hadir dan aktif mengambil bahagian dalam semua sesi, terutama PMQT,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Anwar turut mengajak semua pihak untuk terus berdialog dan berwacana bagi mencari titik temu dalam membina negara secara bersama.

“Tidak sekadar di jalanan, tetapi bangkit menguasai lapangan baharu demi melonjakkan negara ke hadapan secara mantap dan bertenaga,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan orang ramai untuk kembali ke Kuala Lumpur pada masa hadapan bagi menikmati pelbagai nilai warisan dan aktiviti pelancongan di ibu kota.

“Mercu tanda bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad di Dataran Merdeka kini sedang menjalani pemuliharaan besar-besaran bagi menyokong pelancongan dan ekonomi setempat, khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!