Wanita bawa bayi ambil upah kemas bilik hotel

MELAKA- Seorang pekerja am wanita di sebuah hotel membuktikan anak bukan alasan untuk dia bekerja bagi meringankan beban suaminya yang merupakan seorang tentera di kem Sungai Udang Melaka.
Situasi tersebut bagaimanapun difahami oleh majikannya, sekali gus memberikan kebenaran kepada Siti Hajar Abu Bakar,31, untuk membawa anaknya yang berusia lebih dua bulan itu ke tempat kerja.
Siti Hajar yang turut mengambil peluang bekerja sambilan sebagai pengemas bilik berkata, sikap prihatin majikannya yang memahami situasinya sejak bekerja di Hotel Doris Kota Laksamana sejak setahun lalu itu membuatkan dirinya terharu.
Menurutnya, niatnya berkongsi aktiviti mengemas bilik dengan membawa anak-anak ke tempat kerja di Tiktok supaya orang ramai dapat datang memberikan sokongan kepada hotel itu dengan harapan kehadiran pelanggan itu membolehkannya terus mengambil upah RM7 bagi setiap bilik yang dibersihkan.
Katanya, meskipun berbeza bangsa namun pemilik hotel itu tetap membenarkannya membawa anak-anak ketika bekerja.
"Sebenarnya saya berkongsi video-video membawa anak ke tempat kerja supaya orang ramai dapat beri sokongan pada hotel tempat saya bekerja.
"Walaupun mungkin anak-anak kurang selesa namun sekurang-kuranngya saya lega dapat lihat mereka di depan mata," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Sabtu.
Dia yang turut mempunyai seorang anak orang kurang upaya (OKU) kategori lembam berusia 13 tahun berharap kisahnya itu dilihat dari sudut positif, sekali gus menjadi simbol harapan kepada golongan wanita yang sering berdepan dilema antara kerjaya dan tanggungjawab sebagai ibu.
Ujarnya, sejak memuat naik beberapa video di media sosial berkenaan ramai yang memberikan sokongan dan menyifatkan pendekatan ditunjukkan oleh Hotel Doris itu sebagai contoh terbaik kepada majikan lain dalam menyokong keseimbangan kerja dan keluarga.
Sementara itu, pengurus hotel itu yang mahu dikenali sebagai Tan berkata, bukan mudah untuk mendapat pekerja yang mampu memberikan komitmen kerja seperti wanita tersebut kerana kebanyakannya tidak mampu bertahan lama.
"Walaupun dia bawa anak tapi dia boleh bekerja dengan baik kita tiada masalah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


