PSM tiada mandat sertai PN atau PH

Jeyakumar (kanan) menyerahkan kad kehalian PSM sebagai simbolik Kongres Nasional PSM ke-27 yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat di Kuala Kangsar.
Jeyakumar (kanan) menyerahkan kad kehalian PSM sebagai simbolik Kongres Nasional PSM ke-27 yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat di Kuala Kangsar.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Parti Sosialis Malaysia (PSM) tidak memiliki sebarang mandat untuk menjalin kerjasama politik dengan mana-mana gabungan besar sedia ada, kata Pengerusi PSM, Dr D Jeyakumar.

Beliau berkata, sama ada Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN), parti tersebut akan kekal berpegang pada usaha memperkukuh gabungan kuasa ketiga bersama Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

"Setakat ini, pendirian rasmi parti ialah hanya menjalin kerjasama atau membentuk gabungan dengan Muda dan PRM sahaja.

"Kita tidak ada mandat untuk menyertai PH, apatah lagi PN. Kalau ada pun, ia perlu dibawa kepada ahli dan diputuskan bersama," katanya dalam sidang media sempena Kongres Nasional PSM ke-27 di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, sebarang perubahan dalam strategi kerjasama politik hanya boleh berlaku sekiranya ahli-ahli PSM memberikan mandat baharu dalam kongres atau mesyuarat khas dalaman parti.

"Jika ahli merasakan perlu ada bentuk kerjasama lain, itu akan dibincangkan, tetapi buat masa ini, tiada," ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai pertemuan bersama Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu lalu, Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan memaklumkan bahawa ia hanyalah satu perjumpaan biasa.

Arutchelvan.
Arutchelvan.

Artikel Berkaitan:

Tegas beliau, ia bukanlah petanda awal kepada sebarang rundingan rasmi untuk menyertai gabungan pembangkang Perikatan Nasional.

"Mesyuarat itu hanya jemputan umum, tiada apa-apa konsensus pun berlaku. Ada yang mencadangkan kerjasama pembangkang yang longgar, ada yang membincangkan idea membentuk parti pembangkang berdaftar, tetapi tiada kata putus.

"PSM hadir memberi pandangan dan kami nyatakan secara jelas bahawa kami mahu politik yang fokus kepada isu rakyat, bukan politik kaum atau agama," katanya.

Jelasnya lagi, fokus PSM kini ialah memperkukuh kerjasama antara parti-parti progresif yang berkongsi agenda sama, terutamanya dalam memperjuangkan dasar ekonomi yang lebih adil dan inklusif.

"Kami kini sedang berbincang secara serius dengan Muda dan PRM. Tiga parti ini akan duduk bersama untuk membentuk satu kerangka dasar bersama, iaitu satu dokumen asas yang menyenaraikan tuntutan dan isu rakyat.

"Selepas itu barulah kami akan melihat sejauh mana ia boleh dikembangkan. Mungkin fokus di satu negeri dahulu untuk PRU akan datang,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa satu sesi perbincangan dalaman bersama pemimpin Muda dan PRM akan diadakan pada Ahad ini, sebagai lanjutan kepada rundingan untuk mewujudkan kuasa ketiga yang lebih tersusun menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Kongres Nasional PSM ke-27 yang berlangsung di Kuala Kangsar tahun ini menghimpunkan kira-kira 150 perwakilan dari seluruh negara dan berlangsung selama tiga hari sehingga Ahad.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!