Cabaran dakwah al-Quran era digital

Kaedah berhikmah dan kreatif mampu tarik minat masyarakat

Penganjuran program seumpama Festival Al-Quran Kedah 2.0 adalah wadah terbaik untuk membuka mata masyarakat tentang keindahan serta kepentingan al-Quran dalam kehidupan harian.
Penganjuran program seumpama Festival Al-Quran Kedah 2.0 adalah wadah terbaik untuk membuka mata masyarakat tentang keindahan serta kepentingan al-Quran dalam kehidupan harian.
A
A
A

ALOR SETAR - Usaha mendekatkan masyarakat kepada al-Quran kini memasuki era baharu apabila pendekatan kreatif melalui teknologi dan media sosial dijadikan alat penyebaran dakwah yang lebih meluas, khususnya kepada golongan muda.

Exco Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri Kedah, Datuk Mohd Azam Abd Samat berkata, kaedah dakwah yang berhikmah dan kreatif mampu menarik minat masyarakat terhadap kandungan suci al-Quran, selari dengan keperluan zaman digital.

Mohd Azam
Mohd Azam

“Kita perlu pantas memanfaatkan medium komunikasi semasa agar ayat-ayat al-Quran tidak hanya terhad dalam ruang fizikal tetapi menjangkau ke ruang maya yang digunakan oleh generasi muda saban hari,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis penutupan Festival al-Quran Kedah 2.0 yang berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti di sini.

Beliau turut menekankan bahawa pemimpin di seluruh negara perlu mencari kaedah yang relevan bagi melahirkan generasi dinamik dan celik teknologi, tanpa meninggalkan asas spiritual yang kukuh.

Menurutnya, penganjuran program seumpama festival tersebut adalah wadah terbaik untuk membuka mata masyarakat tentang keindahan serta kepentingan al-Quran dalam kehidupan harian.

“Harapan kita ialah agar Kedah dapat melahirkan qari dan qariah, hafiz dan hafizah bertaraf dunia yang mampu mengharumkan nama negeri di persada antarabangsa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Festival tersebut menyaksikan sambutan hangat daripada pelbagai lapisan masyarakat yang hadir bukan sahaja untuk menyaksikan pertandingan tilawah tetapi turut mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti interaktif berasaskan al-Quran.

Melangkah ke hadapan, kerajaan negeri Kedah komited untuk meneruskan inisiatif berbentuk pembudayaan kalam ALLAH secara inklusif dan merentas generasi dengan menerapkan unsur teknologi sebagai pemacu utama.

Dalam majlis yang sama turut diadakan Forum Kemuncak Pencinta Al-Quran yang bertajuk ‘Al-Quran Penyuluh Ummah Sejahtera’.

Hadir sama, Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam, Azhar Ibrahim.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!