Trend londeh aib sendiri di media sosial

Di aplikasi TikTok, ramai anak muda tidak kira lelaki mahupun perempuan berhijab mula terikut-ikut memuat naik gambar atau video diri mereka yang disunting dengan garisan merah di kepala.
Di aplikasi TikTok, ramai anak muda tidak kira lelaki mahupun perempuan berhijab mula terikut-ikut memuat naik gambar atau video diri mereka yang disunting dengan garisan merah di kepala.
A
A
A

TREND ‘S-Line’ yang tular di laman media sosial mula mencetuskan kerisauan dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan beragama Islam apabila ia dilihat membuka ruang kepada pendedahan aib secara terbuka.

Trend ini diinspirasikan daripada sebuah drama Korea adaptasi Webtoon bertajuk S-Line.

Drama tersebut mengisahkan seorang pelajar sekolah menengah memiliki kebolehan melihat garisan merah di atas kepala orang lain yang menjadi simbol kepada sejarah hubungan seksual individu tersebut.

Walaupun asalnya sekadar elemen fiksyen dalam siri drama, S-Line akhirnya ‘dihidupkan’ dalam dunia sebenar.

Di aplikasi TikTok, ramai anak muda tidak kira lelaki mahupun perempuan berhijab mula terikut-ikut memuat naik gambar atau video diri mereka yang disunting dengan garisan merah di kepala, seolah-olah berbangga memberitahu sisi gelap mengenai kehidupan mereka.

Tidak kiralah sama ada perkara ini benar-benar mencerminkan realiti atau sekadar kandungan hiburan semata-mata, trend sebegini tetap menimbulkan kebimbangan ramai.

Ia dikhuatiri menjadi punca anak muda mula menormalisasikan kerosakan akhlak apalagi ia bertentangan dengan nilai kesopanan.

Apabila perihal hubungan seksual yang sepatutnya bersifat peribadi dijadikan tontonan umum, ia sudah tentu menimbulkan keresahan banyak pihak tentang batas maruah dan moral.

Menurut Naib Presiden Kebangsaan Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), Datuk Mohd Faiz Zulkifli, trend ini sangat membimbangkan kerana ia seolah-olah membuka ruang kepada pendedahan aib secara terbuka dan bertentangan dengan nilai agama serta norma masyarakat Timur.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, ramai remaja hari ini mudah terpengaruh dengan tekanan sosial dan perasaan takut ketinggalan (FOMO).

Akibatnya, mereka sanggup melakukan sesuatu yang jelas bercanggah dengan batas agama dan adab semata-mata mahu ikut trend.

Lebih membimbangkan, trend ini dijadikan sebagai ‘konten’ untuk menarik perhatian atau menjadi tular tanpa mengira impaknya terhadap maruah diri.

Sementara itu, pendakwah bebas, Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau lebih dikenali sebagai PU Syed menyifatkan trend ini sebagai satu bentuk ‘kebodohan yang dipilih’, bukan gurauan seperti yang cuba digambarkan sesetengah pihak.

“Aib adalah sesuatu perbuatan yang kita tidak mahu diketahui oleh orang lain. Apatah lagi Islam melarang umatnya untuk mencari-cari keaiban orang lain lalu dihebahkan kepada umum.

“Begitu juga jika kita sendiri mendedahkan keaiban diri yang boleh menjatuhkan maruah diri sendiri dan keluarga.

“Trend S-Line ini bukanlah satu trend yang boleh dibanggakan kononnya bertindak jujur atau sekadar gurauan, bahkan ianya adalah satu ‘kebodohan yang dipilih’.”

Perkara ini turut mendapat perhatian Jabatan Mufti Negeri Pahang yang menegaskan bahawa fenomena ‘S-Line’ perlu dinilai secara serius dari pelbagai sudut termasuk akidah, adab, hukum menyebarkan aib dan kecenderungan masyarakat terhadap maksiat digital.

Menurut jabatan itu, meskipun trend itu tidak termasuk dalam takrif riya’ secara mutlak, ia jelas melibatkan unsur kebanggaan terhadap dosa yang secara nyata dilarang dalam syariat.

Apabila perkara buruk berubah menjadi norma kebiasaan, ini adalah petanda kegagalan fungsi ejen-ejen pendidikan seperti keluarga, institusi pendidikan formal, masyarakat malah kerajaan.

Namun, respons negatif netizen terhadap perkara sedemikian harus dilihat sebagai perkara yang positif kerana masih ramai yang sedar akan tugas mereka menegur dan membetulkan kepincangan dalam masyarakat.

Platform media sosial sepatutnya menjadi tempat menyebarkan kebaikan, namun kenapa semuanya perlu ditayang untuk dunia?

Bagi penulis, adab-adab ketika menggunakan media sosial harus dijaga sebaik-baiknya. Ini kerana maruah amat berbeza dengan harta.

Harta yang hilang atau rosak mudah dicari ganti, sebaliknya maruah yang telah tercalar sukar dibaik pulih.

*Azie Yahaya ialah Sub Editor Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!